
KEHILANGAN tempat bergantung dan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi.
Begitu juga dengan kisah seorang remaja lelaki yang sering dilihat tidur di sudut sebuah dobi setiap minggu di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok @mohammadhafiq7, remaja tersebut terpaksa menjalani kehidupan sedemikian selepas kematian ibunya.
BACA LAGI: Debaran kian terasa, ini cara pantas semak keputusan UPKK
Bapanya pula dikatakan berada di dalam penjara yang sekali gus menyebabkan dia hilang sumber kewangan.
Berdasarkan perbualan mereka berdua dalam video itu, remaja terbabit merupakan anak tunggal dan tidak diuruskan oleh saudara terdekat.
"Kali ini baru dapat borak, macam mana keadaan dia lalui tiada sesiapa peduli termasuk ahli keluarga yang lain.
"Kasihan sangat, dapat duit terus bangun keluar beli makan.
"Kadang kadang kita rasa kita dah susah tetapi ada yang lagi susah dari kita sampai tiada tempat tinggal dan susah nak makan," tulisnya.
Bagaimanapun, melalui video terbaharu dimuat naik pemilik akaun itu, katanya, remaja tersebut kini dilaporkan berjaya diselamatkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, ibu saudara remaja terbabit juga sudah dapat dihubungi untuk sebarang pengurusan penjagaan.
Namun, setakat ini, belum ada kenyataan lanjut dikeluarkan JKM berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram