
MOMEN berbuka puasa merupakan detik dinantikan setiap masyarakat Islam yang pasti tidak sabar menikmati juadah di samping keluarga tercinta.
Namun, lain pula ceritanya bagi tiga individu bergelar guru yang terpaksa menjamah hidangan berbuka di tengah hutan belantara susulan laluan penuh liku perlu ditempuh untuk pulang ke rumah.
Merupakan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Pos Balar, Gua Musang, Kelantan, perjalanan pulang dikatakan mengambil masa lebih tiga jam dengan jarak perjalanan kira-kira 50 kilometer (km).
BACA LAGI: Guru digalak kongsi tandas murid, pantau kebersihan bersama
BACA LAGI: Bimbang Terminal Gombak ‘senasib’ TBS, jadi port tidur warga asing, kebersihan ‘out’
Bagai sudah lali dengan situasi itu, detik sukar tersebut dianggap sebagai satu tanggungjawab dan ujian dalam mendidik murid Orang Asli di sekolahnya.
"Lima tahun di Pos Malar, setiap Ramadan mesti ada hari kami buka puasa dalam hutan.
"Suasananya lain macam...yang teman kami cuma bunyi unggas dan serangga.
"Hutan hijau terbentang luas betapa nikmat yang ALLAH berikan pada kita umat manusia, apa pun kami cuma jalankan tugas sebagai guru di pedalaman," katanya menerusi hantaran di Tiktok.
Kerap berkongsi pengalaman mengajar di kawasan pedalaman, pengorbanan ditempuhi ketiga-tiga guru lelaki itu cukup dikagumi warga maya.
Beberapa individu prihatin turut tidak ketinggalan menggesa agar penambahbaikan jalan dilakukan oleh pihak kementerian di kawasan terbabit.
"Harap pihak kerajaan dapat lakukan sesuatu, perbaiki jalan pun kira bagus, syabas guru-guru semua anda orang yang hebat," kata Hamdan Yaafi.
"Tahniah cikgu, semoga asbab kesenangan di sana nanti, pengorbanan seorang guru dalam mendidik memang tak ternilai," tambah Fatin Effa.
"Kerajaan patut kena sediakan sebiji helikopter untuk hantar dan ambil guru mengajar di kawasan pedalaman, kesian mereka," ujar Syaiko. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram