
MUSIM perayaan kali ini menyaksikan kuih tradisional terus menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat untuk memeriahkan sambutan di Aidilfitri.
Antara kuih tradisional mendapat sambutan tinggi ialah tat nanas, semprit, makmur, biskut dahlia dan bahulu.
Pemilik Berisi Delights, Amitiah Kasmiran, 70, berkata, untuk tahun ini, beliau menyediakan kira-kira 60 jenis kuih tradisional di kedainya terletak di Medan MARA, Kuala Lumpur.
"Kami lebih memfokuskan pada jualan kuih tradsional. Setiap tahun saya cuba tambah dan pelbagaikan jenis kuih untuk ditawarkan buat pelanggan.
"Inisiatif itu menjadi dan alhamdulillah sambutan pelanggan pun terus bertambah," ujarnya yang sudah meniaga di bangunan tersebut hampir 20 tahun.
Hampir dua dekad Amitiah mengusahakan premis menjual biskut raya menjelang musim perayaan.
Dalam pada itu, Amitiah berkata, walaupun terciptanya biskut moden, tetapi permintaan terhadap kuih tradisional terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Oleh itu, beliau sentiasa memastikan produk kuih yang dijual berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan.
Ia termasuk dari segi pengeluaran dan penggunaan bahan mentah yang digunakan bagi menghasilkan kuih-kuih raya terbabit.
"Kebanyakan kuih raya yang dijual diambil daripada pembekal tertentu, namun spesifikasi dan penggunaan bahan saya yang tentukan.
"Atas faktor tersebut saban tahun kuih tradisional tetap dicari kerana tekstur, rasa dan kualitinya masih dikekalkan.
"Misalnya, santan saya akan pastikan santan digunakan betul-betul asli," ujarnya yang berkongsi bahawa terdapat pelanggan sanggup berbelanja lebih RM1,000 membeli kuih tradisional di kedainya.
Antara kuih tradisional yang dijual di Berisi Delights.
Untuk memastikan keaslian dan kualiti kuih tradisional yang dijual, Amitiah turut membuat persiapan awal beberapa bulan sebelum Ramadan mencari pembuat kuih terbaik di seluruh negara.
Ujarnya, setiap negeri mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dari segi kuih yang dihasilkan.
"Kami ambil dari seluruh negara antaranya kuih batang buruk dan putu kacang dar Johor, bahagian Utara (kuih caras) manakala di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terenganu ada serunding.
"Bagi di Pahang pula ada maruku," jelasnya yang turut memaklumkan kuih dijual pada harga antara RM15 hingga RM40.
Nur Alia menunjukkan antara kuih yang dijual di Ramun Delights.
Sementara itu, seorang lagi peniaga kuih tradisional di Medan MARA, Nur Alia Norrizan berkata, antara kuih mendapat sambutan tinggi setiap tahun ialah tat nanas.
"Pelanggan kami bukan sahaja dari Malaysia, ada juga dari Singapura.
"Mereka memang cari tar nanas, selain kuih makmur gajus dan makmur kacang," jelasnya yang menyediakan kira-kira 30 jenis kuih di kedainya Ramun Delights. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram