
SISTEM kewangan Islam sekian lama menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dalam kalangan umat Islam, berteraskan prinsip syariah yang melarang riba atau faedah, gharar (ketidakpastian berlebihan), dan maisir (perjudian).
Walaupun sistem ini menawarkan pendekatan adil dan beretika dalam urusan kewangan, terdapat kepercayaan sesetengah umat Islam bahawa sistem kewangan Islam menjadi penghalang kepada kejayaan perniagaan, terutamanya dalam persaingan dengan sistem kewangan konvensional.
Antara tanggapan lazim dikaitkan dengannya adalah keterbatasan akses kepada modal yang mengambil kira sistem kewangan Islam menggunakan struktur pembbiayaan berbeza.
Disebabkan itu, sesetengah usahawan berasakan proses itu lebih rumit dan memerlukan pematuhan ketat terhadap syarat syariah, berbanding pinjaman konvensional yang lebih cepat dan mudah diperoleh.
Selain itu, sistem kewangan Islam sering dilihat kurang fleksibel dalam menyediakan produk kewangan inovatif.
Syakh Yahya (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
Hal ini mungkin menyebabkan sesetengah perniagaan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan penyelesaian kewangan sesuai dengan keperluan mereka.
Dengan beberapa tanggapan tersebut, tidak hairan wujudnya persepsi negatif sehingga menyebabkan terdapat pihak percaya sistem kewangan Islam merupakan antara faktor utama menghalang pengembangan perniagaan khususnya dalam kalangan umat Islam.
Penolong Pengetua & Ilmuan di Kolej Al-Ameen, Perth, Australia, Syakh Yahya Ibrahim menyifatkan pandangan yang menyalahkan sistem kewangan Islam sebagai punca kepada kemunduran ekonomi umat Islam adalah pendapat dangkal.
Menurutnya, prinsip ditekankan dalam kewangan Islam sangat mengambil berat kepentingan memelihara kestabilan ekonomi.
Ujar beliau, ia sama sekali berbeza dengan sistem kewangan konvensional yang dilaporkan menjadi punca kepada beberapa krisis ekonomi melanda dunia sebelum ini.
"Saya fikir krisis kewangan pada 2007 dan 2008 adalah benar-benar bukti jelas Islam melindungi modal dan sangat berhati-hati apabila wang diletakkan dan tidak memberikan kelebihan terhadap mereka yang kita tahu akan meletakkan diri dalam bahaya lebih besar jika diberikan lebih banyak pembiayaan.
"Secara keseluruhannya, di kebanyakan negara Barat, khususnya Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, agak jelas bahawa sistem kewangan Islam membawa kestabilan dan membantu kepada proses pemulihan yang lebih pantas daripada banyak tempat lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pendidikan Islam anjuran CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad, di ibu negara, baru-baru ini.
Untuk rekod, krisis kewangan dunia 2008 dicetuskan oleh langkah bank di AS yang memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang berisiko tinggi dan kurang berkemampuan untuk membayar balik.
Syakh Yahya (kanan) beramah mesra bersama peserta yang hadir pada Program Pendidikan Islam anjuran CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad, di ibu negara, baru-baru ini.
Pinjaman ini dikenali sebagai subprime mortgages dan diberikan tanpa penilaian kredit yang ketat.
Bagaimanapun, susulan daripada peningkatan kadar faedah, ramai peminjam gagal membayar balik pinjaman menyebabkan peningkatan kadar kegagalan pinjaman sehingga menimbulkan krisis terburuk dalam sejarah sistem kewangan global.
Mengulas lanjut, Syakh Yahya berkata, Islam sama sekali tidak pernah menghalang umatnya memiliki kekayaan.
Malah, beliau berkata, salah satu rukun Islam iaitu pelaksanakan ibadah zakat yang mempunyai kaitan dengan bagaimana seseorang individu perlu menguruskan harta dimiliki.
"Ia prinsip penting menunjukkan bagaimana seharusnya kekayaan dimiliki itu sebenarnya adalah alat untuk melakukan ibadah," ujarnya.
Syakh Yahya menambah, Rasulullah SAW turut mengajarkan umat Islam untuk berdoa supaya diri dilindungi daripada kemiskinan.
Ujarnya, fakta tersebut sendiri menunjukkan bahawa penganut agama Islam seharusnya menetapkan matlamat untuk mencapai keselamatan.
Memetik Hadis riwayat al-Bukhari, beliau berkata, Rasulullah juga bersabda: Tangan yang di atas (orang yang memberi sedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (orang yang menerima sedekah).
"Di sini, walaupun kedua-duanya (pemberi dan penerima) dicintai oleh Allah, menjadi seorang yang mampu memberi qard hasan atau pinjaman yang baik untuk memudahkan keperluan orang lain adalah salah satu ibadah yang paling agung yang boleh dilakukan oleh seseorang manusia untuk berbakti kepada sesama manusia," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram