4 negara 'bermurah' hati beri cuti bersalin lebih 6 bulan


  • Sihat
  • Ahad, 16 Mac 2025

Cadangan tersebut bertujuan menangani kadar kelahiran yang semakin menurun di Vietnam. — Gambar hiasan

VIETNAM bercadang melanjutkan cuti bersalin daripada enam kepada tujuh bulan bagi pekerja wanita yang melahirkan anak kedua.

Cadangan daripada Pihak Berkuasa Populasi Vietnam itu bertujuan menangani kadar kelahiran yang semakin menurun di negara berkenaan, selain memberi sokongan kepada pasangan yang mempunyai anak.

Langkah tersebut adalah sebahagian daripada rang undang-undang mengenai populasi yang sedang disusun oleh Kementerian Kesihatan negara terbabit.

BACA LAGI: 'Doktor pun manusia biasa perlukan rehat,' keputusan kembalikan cuti bersalin 90 hari disambut baik

BACA LAGI: Sweden, Iceland antara negara terbaik buat wanita berhasrat kerja di luar negara

Selain melanjutkan cuti bersalin, Pihak Berkuasa Populasi Vietnam turut mencadangkan alternatif lain termasuk memberi sokongan kepada wanita yang mempunyai dua anak dan bekerja di kawasan industri atau zon pemprosesan eksport untuk menyewa atau membeli rumah sosial.

Langkah dalam rang undang-undang itu merangkumi tiga objektif utama yakni mengekalkan kadar kesuburan penggantian, meminimumkan ketidakseimbangan jantina semasa kelahiran dan meningkatkan kualiti populasi.

Menurut rang undang-undang tersebut, setiap pasangan dan individu diberi hak untuk membuat keputusan sendiri mengenai bilangan anak, masa kelahiran dan jarak antara kelahiran berdasarkan keadaan kesihatan, pekerjaan serta pendapatan.

Selain Vietnam, berikut Majoriti senaraikan tiga lagi negara menyediakan cuti bersalin lebih dari tempoh enam bulan:

Sweden menyediakan cuti bersalin selama 480 hari untuk ibu bapa baharu. — Gambar hiasan

1) Jerman

Ibu bapa kandung atau angkat berhak meminta cuti sehingga bayi mereka berusia tiga tahun.

Waktu bercuti tersebut boleh diambil oleh kedua-dua ibu bapa secara serentak atau berasingan.

Bermula Julai 2015, bayi yang lahir pada tahun itu mendapat 'elaun tambahan' daripada kerajaan bermula usia 24 hingga 28 bulan. Jika pasangan tersebut mempunyai dua anak atau lebih di bawah usia enam tahun, bayaran elaun tambahan akan dinaikkan.

2) Sweden

Sweden menyediakan cuti bersalin selama 480 hari untuk ibu baharu, dengan bayaran 80 peratus daripada gaji penuh mereka, termasuk tempoh 18 minggu khas buat ibu.

Negara itu juga akan memotong 25 peratus waktu pekerjaan kepada wanita hamil dan membenarkan jika mereka mahu pulang awal ke rumah.

3) England

Di England, ibu boleh mengambil cuti bersalin sehingga 39 minggu dengan pemotongan gaji. Namun, mereka hanya boleh mula bercuti pada 11 minggu terakhir sebelum tarikh bersalin kecuali jika bayi lahir pramatang.

Menariknya, kos untuk melahirkan anak di sana adalah percuma jika berdaftar dengan hospital tertentu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp