SEWAKTU mula berjualan nasi lemak di depan rumahnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Roslina Awang Chik tidak pernah sama sekali menyangka kediamannya itu suatu hari nanti bakal menjadi antara gerai makanan popular di Pasir Salak, Perak.
Ini kerana pada waktu tersebut, dia hanya menjual nasi lemak secara kecil-kecilan untuk orang kampung dan penduduk sekitar.
Disebabkan itu, dia langsung tidak terfikir bagi mengubah kediaman rumah pusaka tradisional kayu bersaiz sederhana milik keluarga suaminya di Kampung Gajah tersebut untuk dijadikan sebagai gerai makan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Memang saya tak terfikir pun untuk buka gerai macam ini. Lagipun kita sedia maklum macam mana situasi meniaga dekat kampung. Apalah sangat," katanya kepada Majoriti.
Kini selepas kira-kira tiga tahun, Gerai Nasi Lemak Kak Ah yang beroperasi di rumah kayu didiami keluarganya menjadi cukup popular dalam kalangan penduduk kampung, malah turut dilawati penduduk dari luar daerah.
Suasana menikmati hidangan di ruang kolong Gerai Nasi Lemak Kak Ah. — Facebook/AlongLina
Malah tidak kekok sekiranya untuk menyifatkan bahawa Gerai Nasi Lemak Kak Ah kini sudah menjadi antara salah satu tarikan pelancongan menarik di Pasir Salak.
Selain daripada aneka juadah sarapan tradisi dengan menu utama nasi lemak, pengunjung turut dihidangkan dengan suasana kampung autentik termasuk pengalaman makan di bawah loteng rumah kampung.
Menurut Roslina, idea untuk menjadikan kediaman rumah yang didiami bersama keluarganya itu berlaku secara tidak sengaja.
Ini kerana pada awalnya, dia hanya berniaga menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan menggunakan pos gerai berbentuk buah kelapa yang terdapat di depan kediaman mereka.
"Masa itu Covid-19, jadi kita pun buka gerai jual nasi lemak bungkus dekat depan. Jadi bila jiran-jiran datang nak beli, sementara nak tunggu nasi lemak siap, mereka pun tanya tak ada ke buat minum-minum kopi.
"Bila lama-lama orang orang cakap macam itu, kita pun barulah mulalah terfikir idea untuk buat. Mula-mula itu kita tak berani sebab takut nanti nak kena ambil pekerja semua. Kita rasa macam tiada kemampuan apatah lagi benda macam itu perlukan modal.
"Jadi mula-mula kita bukan satu dua meja di bawah kolong dan bagi hidangan air percuma," kongsinya.
Antara menu hidangan disediakan di Gerai Nasi Lemak Kak Ah. — Facebook/AlongLina
Bermula daripada situ, Roslina berkata, gerainya itu kemudiannya mendapat lebih banyak perhatian terutamanya daripada penduduk sekitar yang gemar dengan suasana tersebut.
Malah, ada satu waktu juga dia perlu membuka sistem tempahan kepada pelanggan yang mahu menikmati hidangan sarapan di kedainya.
Gerak Nasi Lemak Kak Ah yang menyediakan sarapan pagi beroperasi dengan lebih 20 meja dibantu dengan lima pekerja.
Roslina berkata, dia juga akan menggunakan khidmat dua pekerja tambahan bagi membantu peningkatan operasi ketika waktu hujung minggu.
Menurutnya selepas mula lebih dikenali, kedainya turut beberapa kali dipilih oleh produksi drama untuk dijadikan sebagai tempat penggambaran.
Resipi ibu jadi menu utama
Gerai Nasi Lemak Kak Ah dipilih sebagai lokasi penggambaran. — Facebook/AlongLina
Dalam pada itu, Roslina berkata, nasi lemak yang dihidangkan itu adalah resipi daripada ibunya yang dikenali dengan panggilan Kak Ah dalam kalangan orang kampung.
Disebabkan itu juga, wanita berusia 47 tahun itu berkata, dia menggunakan nama tersebut sebagai nama gerainya.
"Nama Kak Ah itu sempena nama mak. Saya belajar buat sambal dan nasi lemak pun daripada mak. Sebab dulu mak memang pernah buka kedai sekitar 1990-an untuk bantu keluarga sekolahkan kami anak-anak.
"Jadi itu yang saya mula pakai nama itu sebab orang kampung pun bila sebut Kak Ah sahaja diorang memang kenal," ujarnya yang berasal daripada Kampung Ayer Mati, Pasir Salak.
Dalam pada itu, Roslina berkata, rumah kayu tradisional milik keluarga suaminya itu dianggarkan sudah berusia lebih 80 tahun.
Pos gerai berupa buah kelapa di depan kedianam yang digunakan Roslina ketika awal dia menjual nasi lemak. — Facebook/HezeriSamsuri
Pada asalnya, dia berkata, rumah terbabit terletak di tanah yang ketika ini merupakan Kompleks Sejarah Pasir Salak Gajah sebelum ia dipindahkan ke lokasi terbaharunya kini di Kampung Gajah.
Menurutnya, keluarganya tidak mempunyai masalah untuk menyelenggara rumah tersebut memandangkan mereka sendiri duduk di kediaman berkenaan.
"Nak jaga rumah kayu ini sebenarnya tak susah pun. Kalau kita duduk, insyaALLAH dia ok. Sebab kalau ikut kata mak saya, kalau kita duduk baru rumah itu ada semangat.
"Dia susah kalau kita tak duduk, itu buat dia lagi cepat reput," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram