
POLIS menahan dua suspek lelaki tempatan selepas didakwa enggan memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di sebuah jalan raya dekat Muar, Johor pada Rabu.
Gagal memberikan kerjasama terhadap polis, kedua-dua individu terbabit memecut laju dan dikejar sejauh 7 kilometer (km) sebelum berjaya ditahan di Jalan Selasih, Taman Selasih Sg Abong, Muar.
BACA LAGI: Banyak jalan tutup sekitar KL, rancang perjalanan balik kerja — Polis
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek ditahan kerana menghalang tugas polis yang menjalankan Operasi Op Utama (Pandu Laju) di kawasan berkenaan.
"Kejadian berlaku apabila pihak polis cuba memberhentikan kenderaan dipandu suspek iaitu Honda City kelabu di Jalan Pintasan Muar.
"Namun, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 24 tahun enggan berhenti dan terus memecut laju.
"Pihak polis kemudiannya mengejar suspek dan aksi kejar mengejar sejauh 7km itu berakhir apabila kedua-duanya berjaya ditahan bersama kenderaan dipandu.
Tambahya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah selain turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Kes disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika disabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram