Batik Air sedia tingkatkan kekerapan penerbangan di Lapangan Terbang Subang


  • Bizz
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Batik Air bersiap sedia memperkenalkan lebih banyak laluan bagi tempoh beberapa bulan akan datang. — The Star

BATIK Air bersiap sedia untuk meluaskan perkhidmatannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau Lapangan Terbang Subang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, usaha itu akan dilakukan dengan meningkatkan kekerapan penerbangan serta memperkenalkan lebih banyak laluan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Chandran berkata, komitmen itu juga seiring dengan usaha kerajaan dalam mempercepatkan langkah menjadikan LTSAAS sebagai hab serantau utama.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Khemah lembik tiada tali', peniaga bazar Aidilfitri Jalan TAR terjejas ribut rayu bantuan DBKL

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya ada di Pantai Timur, ramai tak sangka KTMB masih ada prosedur unik 'pass' kunci token

Beliau berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya visi kerajaan dan bersedia memainkan peranan penting dalam kejayaannya.

"Kami akan meningkatkan rangkaian penerbangan dan akses akan menyokong pertumbuhan lapangan terbang sebagai pintu masuk dinamik untuk pelancong perniagaan serta rekreasi.

"LTSAAS mempunyai potensi besar sebagai lapangan terbang bandar moden dan Batik Air komited sepenuhnya terhadap transformasinya.

"Kehadiran kami yang diperluaskan akan menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada penumpang serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Chandran berkata, pihaknya turut menggesa pengawal selia industri penerbangan negara untuk mempertimbangkan agar dapat mempercepatkan peruntukan slot penerbangan tambahan di LTSAAS.

Katanya, ia termasuk kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pihaknya juga berharap agar proses itu dimudahkan untuk membolehkan Batik Air meningkatkan sambungan penerbangan, memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan dengan cekap serta menyumbang kepada pembangunan berterusan LTSAAS.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan, MAHB dan rakan industri untuk memaksimumkan potensi lapangan terbang serta memastikan pengalaman perjalanan yang lancar bagi semua penumpang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram