
PENIAGA bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur meluahkan kekecewaan terhadap kualiti khemah yang disediakan susulan insiden yang berlaku ketika hujan lebat dan ribut yang melanda pada petang Rabu.
Antara peniaga yang terjejas, Rustam Munab, 63, menyifatkan struktur khemah terlalu lembik dan tidak sesuai untuk menahan tiupan angin kuat.
Peniaga songkok yang turut terjejas itu berkata, susunan khemah yang dipasang secara bersebelahan tanpa ruang pengudaraan menyebabkan angin tidak dapat menembusi dengan baik sekali gus mengakibatkan ketidakstabilan struktur tersebut.
BACA LAGI: Dinding runtuh, perkhidmatan LRT Masjid Jamek tidak terjejas
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya ada di Pantai Timur, ramai tak sangka KTMB masih ada prosedur unik 'pass' kunci token
Beberapa peniaga terpaksa menanggung kerugian akibat insiden tersebut.
"Kira-kira pukul 12 tengah hari, tiba-tiba angin kuat dan khemah yang dibagi ini terlalu lembik.
"Memang tidak sesuai langsung dengan tiada ada tali," katanya menerusi video yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp.
Rustam turut berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan operasi perniagaan tetapi juga menimbulkan risiko keselamatan kepada pelanggan.
Justeru, dia menggesa dan merayu kepada pihak berkuasa tempatan termasuk Datuk Bandar berkenaan untuk membantu para peniaga yang terjejas.
"Perniagaan kita sekarang ini memang terjejas teruk. Kami juga kesal kerana selepas hampir dua jam sejak kejadian berlaku masih tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
"Tolonglah Datuk Bandar, tengok keadaan kami. Tolong bantu kami," katanya.
Para peniaga turut menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan khemah yang lebih kukuh serta pemasangan yang selamat untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
Bukan itu sahaja, mereka turut meminta agar 'station' khas disediakan untuk peniaga mengeringkan barang dagangan yang basah, lengkap dengan khemah, kipas, dan pengering.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan oleh DBKL mahu berhubung isu yang dibangkitkan itu.
Sebelum ini, tular di media sosial keadaan beberapa buah khemah peniaga bazar berkenaan mengalami kerosakan selepas diterbangkan ribut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram