
SERAMAI 5,272 belia berusia lingkungan bawah 34 tahun di negara ini sudah diisytiharkan bankrap sejak 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, seramai 5,189 daripadanya berusia 25 hingga 34 tahun sementara 83 yang lain adalah di bawah 25 tahun.
Tambah Hannah lagi, trend berlakunya bankrap dalam kalangan anak muda semakin meningkat dari tahun ke tahun.
BACA LAGI: Fahmi Fadzil nafi kompaun pengendali ERA FM bersifat ‘pilih kasih’
BACA LAGI: Terbukti, amalan mampan mampu jadikan ladang kelapa sawit lokasi perlindungan spesies flora fauna
Hannah Yeoh.
"Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan, dengan 877 kes direkodkan pada 2024, ia 150 kes lebih tinggi berbanding 727 kes dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Rekod Jabatan Insolvensi menunjukkan punca utama kes bankrap pada 2024 adalah pinjaman peribadi, iaitu sebanyak 2,776 atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes bankrap," kata Hannah.
Hannah berkata demikian dalam menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew semasa sidang Dewan Negara pada Khamis.
Senator tersebut mahu mengetahui jumlah mereka yang sudah diisytiharkan bankrap dan apa menyebabkan mereka termasuk dalam golongan tersebut.
Selain daripada pinjaman peribadi, Hannah menjelaskan yang faktor-faktor satu-satu belia itu diisytihar bankrap adalah pinjaman perniagaan (1,148 kes), pinjaman perumahan (474 kes), hutang dalam bentuk-bentuk lain (463 kes), pembiayaan jual beli kenderaan (444 kes).
Selain itu, terdapat juga faktor akibat jaminan koperasi (383 kes), hutang cukai pendapatan (110 kes), hutang kad kredit (89 kes), kegagalan menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (77 kes), biasiswa dan pinjaman pendidikan (sembilan kes) dan jaminan sosial (empat kes).
Hannah berkata, pihaknya menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara akan mengadakan program berskala seluruh negara untuk membantu golongan belia celik kewangan bermula April hingga Oktober tahun ini.
"Untuk tahun ini juga, pihak kementerian akan mengadakan Program Pemerkasaan Ekonomi Belia, menfokuskan elemen kos sara hidup dalam kalangan belia," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram