[VIDEO] Pengganas rampas kereta api penumpang, tentera Pakistan selamatkan lebih 100 tebusan


  • Benua
  • Rabu, 12 Mac 2025

Tentera Pakistan mengawal lokasi kejadian semasa operasi dijalankan.

TENTERA Pakistan berjaya membebaskan lebih 100 tebusan dalam insiden rampasan kereta api oleh puak pengganas dekat wilayah Balochistan.

Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, puak pengganas itu menyerang sebuah kereta api yang membawa 450 penumpang.

Puak militan turut meletupkan landasan kereta api hingga memaksa kenderaan awam tersebut berhenti di kawasan terpencil.

BACA LAGI: Persahabatan sejak sekolah menengah berakhir di puncak Carstensz, 2 pendaki wanita meninggal dunia akibat hipotermia

BACA LAGI: Fenomena coklat Dubai rupanya tercetus daripada rasa mengidam pengasas

Dalam kejadian itu, dilaporkan tiga orang terbunuh dengan jumlah penumpang yang masih di dalam kereta api tidak dapat ditentukan kerana pihak berkuasa meneruskan operasi semalaman.

Menurut salah seorang mangsa, semasa puak militan merampas kereta api itu, mereka mengasingkan penumpang lelaki dan wanita.

"Orang ramai mula menyorok di bawah kerusi kerana panik. Mereka membenarkan saya dan keluarga untuk pergi kerana saya berkata saya ada sakit jantung," kata Allahditta yang berusia 49 tahun.

"Saya berada dalam kereta api bersama ayah dan abang saya ketika puak militan mula mendapatkan tebusan. Mereka lepaskan saya tapi mereka masih ada di situ," jelas wanita berusia 32 tahun yang tidak mahu dinamakan.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi berkata, pihak keselamatan negara itu berjaya membunuh 16 orang puak militan semasa operasi tersebut.

Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku mereka bertangunggjawab terhadap serangan tersebut.

BLA merupakan puak pemisah yang sering melakukan keganasan di wilayah itu yang juga terletak antara sempadan Afghanistan dan Iran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram