Fahmi Fadzil nafi kompaun pengendali ERA FM bersifat ‘pilih kasih’


  • Primer
  • Khamis, 13 Mac 2025

Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan berat sebelah dalam beri kompaun kepada pengendali lesen ERA FM.

DAKWAAN bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ke atas pengendali stesen radio ERA FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd bersifat berat sebelah dan menindas Islam adalah tidak berasas serta berunsur fitnah, kata Menteri Komunikasi.  

Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa tuduhan sedemikian tidak mencerminkan realiti atau fakta sebenar.  

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan dokumen Soalan Lazim (FAQ) berkaitan kompaun yang dikenakan terhadap syarikat tersebut susulan dakwaan tidak tepat yang terus disebarkan oleh pihak tertentu.  

BACA LAGI: Polis jumpa petunjuk baharu dalam siasatan kes Zayn Rayyan

BACA LAGI: Tiada tindakan lanjut terhadap 3 penyampai radio ERA FM, denda RM250,000 sudah memadai — Fahmi Fadzil

"Saya telah menjelaskan bahawa kompaun ini dikenakan ke atas pemegang lesen, iaitu Maestra Broadcast yang mengendalikan ERA FM, dan bukan ke atas stesen radio itu sendiri atau tiga penyampai yang terlibat.  

"Kes ini juga tidak dibawa ke mahkamah, sebaliknya diputuskan dengan kelulusan timbalan pendakwa raya untuk mengenakan kompaun maksimum," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Khamis.  

Pada Rabu, MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak menggantung lesen Maestra Broadcast, sebaliknya mengenakan kompaun sebanyak RM250,000 terhadap syarikat berkenaan.  

MCMC menjelaskan bahawa tindakan itu diambil dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara susulan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang telah dipinda dan berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025). 

Kesalahan tersebut melibatkan penyiaran kandungan berunsur ofensif di akaun TikTok rasmi ERA FM.  

Fahmi turut menjelaskan bahawa kes melibatkan stesen radio tersebut, dua individu termasuk seorang pelawak serta pengendali sebuah kedai serbaneka berada dalam kategori berbeza dan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berlainan.  

"Bagi kes KK Mart, siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan mahkamah mengenakan denda sebanyak RM60,000.  

"Bagi kes Harith Iskander dan Cecilia Yap, mereka didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, tetapi sebagai individu, bukan syarikat.

"Timbalan pendakwa raya meluluskan kompaun RM10,000 terhadap mereka, dan kes ini tidak dibawa ke mahkamah," jelasnya.  

Beliau turut mengingatkan bahawa kesalahan-kesalahan ini berlaku sebelum pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.  

"Sebelum tarikh ini, kesalahan berkaitan boleh dikenakan denda mahkamah sehingga RM50,000. Namun, selepas pindaan berkuat kuasa, jumlah denda maksimum meningkat kepada RM500,000," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram