[VIDEO] Warga emas meninggal ketika main badminton di Alor Setar, anak sempat nasihat ayah supaya berehat dulu sebelum kejadian


  • Tular
  • Selasa, 11 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang warga emas (dalam bulatan) rebah ketika bermain badminton di Alor Setar, Kedah.

SUKAN sememangnya baik untuk kesihatan, namun memilih waktu yang sesuai untuk bersukan juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan tubuh.

Aktiviti fizikal pada waktu malam, terutama lewat malam, boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung atau penyakit kronik.

Ini kerana tubuh memerlukan masa untuk berehat dan pulih selepas seharian beraktiviti.

BACA LAGI: [VIDEO] Tuhan bayar 'cash', lelaki disambar api ketika cuba bakar traktor di tepi jalan di Turkiye

BACA LAGI: [VIDEO] Sambutan hari jadi bertukar mimpi ngeri, wanita Vietnam melecur muka belon gas hidrogen meletup

Terbaharu kejadian, seorang warga emas maut ketika bermain badminton sebuah gelanggang yang berlokasi di Alor Setar, Kedah menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

Manakan tidak, dalam kejadian yang berlaku pada Ahad minggu lalu itu turut tular di laman media sosial.

Memetik laporan China Press, mangsa yang hanya dikenali sebagi Ah Chew meninggal dunia di tempat kejadian.

Melalui video berdurasi seminit lebih itu memaparkan mangsa yang berusia 70 tahun sedang bermain dalam perlawanan beregu bersama rakan-rakannya.

Ketika dia tunduk untuk mengambil bulu tangkis, dia tiba-tiba jatuh ke belakang dan rebah ke tanah sebelum pengsan.

Melihat kejadian itu, rakan-rakannya segera bergegas untuk membantunya, manakala seorang doktor yang kebetulan bermain di gelanggang berhampiran turut memberikan bantuan awal.

Namun, segala usaha mereka sia-sia apabila paramedik yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan Ah Chew meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

Difahamkan, mangsa mempunyai masalah kesihatan seperti hipertensi, diabetes, dan kolesterol tinggi. Walaupun begitu, dia sangat aktif secara fizikal dengan berjoging serta bermain badminton.

Anak mangsa juga mengesahkan bapanya telah menerima suntikan vaksin selesema seminggu sebelum kejadian dan mengalami keletihan ringan tetapi kembali pulih selepas berehat.

Walaupun mereka telah menasihatinya untuk berehat lebih lama, bapanya tetap kembali bermain badminton selepas seminggu.

Susulan daripada kejadian malang tersebut, rata-rata warga maya bersimpati dengan nasib mangsa dan berharap kejadian itu akan menjadi pengajaran untuk orang ramai.

Seorang pengguna Facebook, Daud Muhd berkata, bersukan pada waktu malam boleh mengganggu kitaran tidur, meningkatkan tekanan darah, serta memberi tekanan berlebihan kepada jantung.

"Bukan stakat jantung yang terkesan pada waktu malam tetapi juga sistem saraf. Oleh itu, memahami risiko sukan pada waktu malam amat penting bagi memastikan tubuh mendapat rehat yang mencukupi dan mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan yang tidak diingini.

"Semoga keluarga mereka tabah kehilangan orang tersayang," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Rizman Man turut menitipkan pesanan bagi mereka yang suka bersenam pada waktu malam.

"Elak kejadian berulang, bersukan pada waktu malam itu boleh tetapi harus ingat waktu malam masa untuk jantung dan badan rehat.

"Jangan normalisasikan aktiviti bersukan, apatah lagi selepas pengambilan vaksin atau ubat-ubatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram