Tak mahu beli baju raya, petanda Aisar Azim akan pergi selamanya


  • Massa
  • Selasa, 11 Mac 2025

Aisar Azim (gambar kecil) dikebumikan tengah malam Isnin di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, dihadiri hampir 100 ahli keluarga. — Gambar MediaMBNS

PERMINTAAN untuk tidak membeli baju raya tahun ini menjadi petanda pemergian seorang remaja, Aisar Azim Abdullah, 17, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, Negeri Sembilan pada Khamis minggu lalu.

Menurut abangnya, Muhammad Aiman, 20, Aisar Azim yang mesra dipanggil Alang membuat permintaa tersebut beberapa hari sebelum tragedi malang berkenaan tanpa disangka hasrat adiknya itu akan menjadi tanda perpisahan selamanya.

"Saya tanya kenapa dia tak mahu beli baju raya, dia kata tahun ini tak nak beraya dan hanya mahu duduk di rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik 'dashcam' rakam nahas 2 remaja maut di Senawang diminta tampil bantu siasatan — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu meraung sebelum pitam, 2 penunggang motor maut dirempuh remaja langgar lampu isyarat merah di Senawang

"Saya tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selamanya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, Sikamat, Negeri Sembilan pada Selasa.

Terdahulu, Aisar Azim disahkan meninggal dunia pada pukul 7.23 malam Isnin, selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) sejak 6 Mac lepas.

Jenazahnya selamat dikebumikan pada 12.40 tengah malam Isnin di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, dihadiri hampir 100 ahli keluarga.

Aisar Azim mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan selepas dirempuh kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahu yang gagal berhenti di lampu isyarat. — Gambar Orang awam

Sementara itu, ibunya, Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, berkata, arwah anak ketiga daripada 10 beradik itu sentiasa teruja menyambut Syawal dan gemar berpakaian sedondon bersama keluarga.

"Saya reda dengan apa yang terjadi dan kami sudah bersedia sebaik doktor maklumkan oksigen anak saya menurun hingga 38 peratus dan otaknya sudah mati. Kami bacakan surah Yasin, saya maafkan dan ampunkan dosanya. Dia pergi dengan tenang, seolah-olah sedang tidur," katanya.

Menurut Nurha’afza, kali terakhir dia melihat Aisar Azim pada malam Rabu, ketika dia baru pulang dari rumah kawannya.

"Itulah kali terakhir saya menatap wajahnya," katanya sambil memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian yang meragut nyawa anaknya itu.

Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, bersama seorang penumpang berusia 17 tahun, dari arah Senawang ke Paroi, gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua pelajar serta motosikal Honda Vario yang ditunggang Aisar Azim dan seorang rakannya berusia 13 tahun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp