Komited beri akses pendidikan, kerajaan bakal laksana program intervensi mapan atasi masalah keciciran pelajar


  • Primer
  • Ahad, 22 Sep 2024

Inisiatif mengatasi keciciran pelajar perlu dirancang dengan teliti demi memastikan ia dapat memberi manfaat secara langsung kepada pelajar dan guru di sekolah. — Gambar hiasan

SEBUAH program intervensi menyeluruh bagi menangani isu keciciran pelajar dan memacu reformasi pendidikan bakal dilancarkan pada minggu depan.

Menggunakan pendekatan keseluruhan negara atau 'whole of nation', program itu akan menekankan kepentingan menangani cabaran pendidikan dengan usaha daripada semua pihak termasuk kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kewangan (MOF).

Meskipun butiran lengkap masih belum didedahkan sehingga pelancaran rasminya pada 27 September nanti, penerangan ringkas mengenainya sudah dibuat menerusi satu taklimat kepada pengamal media.

BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas

BACA LAGI: Harumkan nama Malaysia, politeknik di mata dunia, pensyarah tidak mahu Izzul Zafran 'hanyut'

Ia meliputi pengenalan kepada beberapa elemen khas buat program terbabit yang dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 sebagai usaha menyokong pelajar tercicir di sekolah.

Pengarah Eksekutif Unit Pantau Madani, Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata, isu keciciran murid dilihat semakin meruncing berikutan tempoh tambahan penutupan sekolah selama 174 hari, iaitu tempoh paling panjang di rantau ini.

Mohd Khalid berkata, ia bukanlah soal pembelajaran semata-mata tetapi, terdapat beberapa faktor menjadi halangan seperti masalah kemiskinan, kesihatan dan kekurangan akses kepada pendidikan.

"Kadangkala terlalu banyak gangguan yang menghalang murid mendapat pendidikan

"Disebabkan itu, pendekatan 'whole of nation' sangat penting dalam menangani isu berkaitan pendidikan," katanya semasa taklimat media di Putrajaya pada 10 September lalu.

441531521_988402739955112_8105620302747991561_n

Sekolah Dalam Hospital adalah salah satu inisiatif KPM bersama Kementerian Kesihatan bagi mengatasi keciciran murid yang ketinggalan sesi persekolahan apabila menerima rawatan untuk tempoh yang lama atau berulang di hospital.

Katanya, kerajaan memanfaatkan gabungan dan kemampuan seluruh masyarakat di negara ini bagi melaksanakan program intervensi itu kelak.

Bagi menjayakan usaha itu, beberapa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan pelaburan, kumpulan masyarakat sivil, organisasi antarabangsa, universiti awam dan rakan kongsi teknologi berlapang dada bekerjasama dengan warga pendidik.

Selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan program itu sebagai penanda aras secara global yang membuktikan keperluan melibatkan diri dengan pelbagai pihak termasuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi membantu lebih ramai pelajar hadir ke sekolah.

Pengalaman setiap pelajar juga adalah unik dan berbeza walaupun cabaran dihadapi mereka dianggap sebagai perkara normal di seluruh dunia.

Lebih-lebih lagi apabila menelusuri zaman teknologi serba canggih dengan alat telekomunikasi pintar dan sumber dalam talian yang memudahkan proses pembelajaran dari jarak jauh.

Ia bagaimanapun tanpa disedari boleh mengganggu tumpuan dan penglibatan pelajar untuk fokus dalam sesi pembelajaran.

"Pelajar kini terdedah kepada pelbagai bentuk gangguan digital, khususnya media sosial.

"Gangguan ini sangat menarik perhatian mereka, ia bermakna pembelajaran sekolah tradisional kini perlu bersaing untuk mendapatkan perhatian pelajar,” katanya, sambil menambah bahawa pendekatan lebih holistik terhadap pendidikan amat penting.

Mohd Khalid

Pengarah Eksekutif Unit Pantau Madani, Mohd Khalid Mohamed Latiff.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa pembelajaran harus lebih menyeronokkan dan melibatkan semua pihak berkepentingan, terutamanya ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak mereka untuk kekal fokus.

Tambahnya, pendekatan pembelajaran standard berkemungkinan tidak mencukupi untuk mengekalkan minat mereka sekiranya tiada penglibatan penuh.

"Kami menjalin kerjasama rapat dengan dengan KPM dalam membangunkan program intervensi ini.

"Dengan menggunakan pendekatan berasaskan data, kami dapat mengenal pasti pelajar yang terjejas terutamanya ketika pandemik Covid-19 dan menyelaraskan intervensi ini untuk memberi impak positif kepada pelajar.

"Kami tidak mahu lihat isu ini hanya dari perspektif kami, tetapi sebaliknya mengambil pandangan holistik bagi mengatasinya," jelasnya.

Tingkat kemampuan sejagat

Mohd Khalid turut menekankan keperluan memperkukuh dan memastikan kejayaan program itu untuk digunakan di seluruh negara.

"Kita mesti bersatu secara kolektif dan bersetuju bahawa ini adalah cabaran yang kita semua hadapi. Sangat penting untuk kita semua bekerjasama," katanya sambil menambah bahawa program tersebut akan dilaksanakan sehingga penghujung 2025.

Jelasnya lagi, pendidikan yang utuh secara tidak langsung dapat mempengaruhi daya saing negara seiring dengan tuntutan masyarakat moden serta sektor kerja yang semakin berkembang pesat.

459166267_18460640110028150_461141960006229436_n

Sekolah rintis model khas Komprehensif 11 dapat meningkatkan akses pendidikan berkualiti selain memastikan isu keciciran murid dalam kalangan murid Orang Asli dan Peribumi. — Gambar hiasan

Menurutnya, semua pelajar termasuk yang lemah membaca teks mudah, tidak hadir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak layak menerima sijil SPM atau tiada kesempatan berada di alam persekolahan perlu diberi perhatian.

Berdasarkan data dan objektif utama, beliau menyatakan bahawa terdapat tiga pecahan dalam program intervensi itu untuk menangani cabaran khusus di sekolah rendah dan menengah yang menyasarkan sebanyak 3,458 sekolah sekali gus melibatkan 83,752 pelajar.

Sub program tersebut turut merangkumi penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Justeru, inisiatif mengatasi keciciran pelajar perlu dirancang dengan teliti demi memastikan ia dapat memberi manfaat secara langsung kepada pelajar dan guru di sekolah.

"Ini bukan sahaja melibatkan tindak balas kepada keperluan segera pelajar tetapi juga menjadi langkah strategik ke arah membina rangka kerja pendidikan yang mampan serta menyokong objektif pertumbuhan negara.

"Pendekatan berperingkat ini membolehkan pelarasan berdasarkan hasil awal bagi memastikan program itu dapat ditingkatkan secara berkesan sambil menangani sebarang cabaran yang muncul," katanya lagi.

452076990_368658469581485_3850925166662898561_n

Suatu pendekatan sinergistik dan program intervensi perlu dibuat bagi memastikan tiada kanak-kanak tertinggal dalam pendidikan. — Gambar hiasan

Mohd Khalid berkata, usaha melibatkan diri dan mengalu-alukan pihak berkepentingan lain termasuk daripada sektor swasta masih diteruskan untuk bersama-sama membantu inisiatif itu.

“Membantu kanak-kanak mengembangkan potensi mereka adalah tanggungjawab kita bersama.

“Dengan usaha kolektif, kita boleh menjamin masa depan yang cerah untuk negara kita.

“Anak-anak lebih memerlukan kita sekarang berbanding sebelum ini. Sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini, sila tampil ke hadapan. Mari kita buat perubahan bersama-sama,” ujarnya.

Tiada diskriminasi dalam pendidikan

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa diskriminasi tidak seharusnya wujud dalam pendidikan.

"Konfusius (ahli falsafah China) merupakan pendidik pertama yang mengemukakan idea mengajar tanpa diskriminasi.

“Memandangkan keadaan sekarang terutamanya selepas pandemik, kami menyedari bahawa kanak-kanak daripada latar belakang yang kurang berkemampuan berada pada tahap yang lebih lemah.

"Ketidaksamaan ini akan terus meluas jika kita tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki keadaan," jelasnya.

ALOR SETAR, 6 Ogos -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, proses membangunkan dan melaksanakan program tersebut agak mencabar kerana perlu mendapatkan data penilaian kedua yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

Katanya, penilaian pertama yang dijalankan pada Mac lalu adalah antara agenda pembaharuan kurikulum dan mendapati seramai 122,000 murid Tahun Satu masih belum menguasai kemahiran 3M secara menyeluruh.

“Justeru, kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani setiap peringkat kanak-kanak dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

“Kita tidak boleh melakukannya seorang diri. Kita perlukan pendekatan sinergistik dan program intervensi akan datang akan pastikan tiada kanak-kanak tertinggal dalam pendidikan.

“Kita perlu satu kampung untuk besarkan anak. Begitu juga kita semua amat diperlukan untuk membina sistem pendidikan yang kukuh,” katanya sambil menegaskan bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam menyebarkan mesej tentang pendidikan.

Tambahnya, penglibatan seluruh masyarakat adalah penting dalam mempercepatkan keberkesanan usaha itu.

Beliau juga yakin bahawa cabaran itu dapat ditangani dengan adanya mesej tepat melalui komitmen yang ditunjukkan terutamanya dalam latihan guru.

458359677_837098525194906_8123183243701711611_n

Diskriminasi tidak seharusnya wujud dalam pendidikan bagi memastikan semua murid dari latar belakang berbeza mempunyai akses sama kepada pendidikan.

Meskipun ketelusan dalam menghadapi cabaran diutamakan, beliau menekankan, ia sama pentingnya dengan kejayaan daripada laporan pelan tindakan pendidikan Malaysia terkini ketika kementerian berusaha melaksanakan agenda reformasi pendidikan yang diperkukuh melalui penubuhan enam pasukan petugas.

Pada Mac lalu, pihak kementerian menubuhkan enam pasukan petugas untuk memperkasa pendidikan negara di prasekolah; intervensi kurikulum; Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM); pendidikan digital; Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Memartabatkan Bahasa Melayu dan Pengukuhan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Sejak 11 tahun lalu pelaksanaan pelan pembangunan pendidikan, kami dapat lihat kemajuan ketara dalam meningkatkan akses kepada pendidikan seperti yang ditunjukkan dalam kadar peningkatan enrolmen sekolah.

“Ini bermakna di Malaysia, anak-anak kita secara amnya tidak menghadapi halangan untuk hadir ke sekolah, kecuali dalam kes-kes tertentu dan itulah cabaran yang kami komited untuk ditangani.

“Justeru, kami mengharapkan sokongan penuh masyarakat bagi membantu menyebarkan mesej program intervensi akan datang ini khususnya di negeri-negeri yang disasarkan mengikut sub program,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram