Dasar wajibkan pendidikan menengah bakal dibentang di Parlimen Februari — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Isnin, 13 Jan 2025

Fadhlina berkata, dasar itu bertujuan antara lain bagi menangani ketidakhadiran, keciciran dan kualiti pendidikan negara.

KEMENTERIAN Pendidikan bakal membentangkan dasar yang mewajibkan pendidikan peringkat menengah di Parlimen pada Februari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, dasar itu bertujuan antara lain bagi menangani ketidakhadiran, keciciran dan kualiti pendidikan negara.

Selain itu, katanya, ia juga akan menangani masalah pelajar tidak hadir ke sekolah terutama semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

BACA LAGI: Mengadu sakit kepala, pelajar SPM meninggal dunia lepas koma sehari sebelum peperiksaan

BACA LAGI: 'Mental fizikal terkesan', ramai merayu menteri tangguh dulu SPM susulan banjir teruk

“Langkah memastikan pelajar hadir ke sekolah telah dijalankan sepanjang tahun, bukan sahaja semasa SPM seperti program Cakna Ziarah peringkat komuniti.

“Peperiksaan masih berjalan sehingga 6 Februari, jadi angka yang disebut sebelum ini masih belum matang,” katanya pada sidang media pada majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2025 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada 2 Januari lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, kira-kira 10,000 calon masih belum mengesahkan kehadiran mereka untuk peperiksaan tahunan terbabit.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, kadar kehadiran calon SPM 2024 ketika itu ialah 97 peratus dan berharap kadar berkenaan akan bertambah baik.

Sementara itu, Fadhlina mengingatkan ibu bapa dan penjaga calon peperiksaan SPM 2024 supaya memastikan anak-anak mereka menduduki peperiksaan tersebut.

Berhubung dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM 2024 bagi mata pelajaran Sejarah, Fadlina berkata kementerian telah mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan integriti peperiksaan SPM.

Pada 9 Januari lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa dakwaan kebocoran kertas Sejarah adalah tidak berasas susulan dakwaan yang tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram