BA-SI-KAL. Perkataan tiga suku kata yang umumnya sudah boleh dibaca dengan lancar oleh kebanyakan murid Tahun Dua.
Namun bagi Qawien Fuadi Shahrul Hazli, lapan tahun, dia memerlukan masa hampir 10 minit untuk mengeja dan menyebut perkataan itu - tidak ubah seperti kanak-kanak pendidikan prasekolah.
"Dia faham apa yang kita bacakan kepadanya, tetapi apabila disuruh baca semula, dia terpaksa mengeja satu demi satu sebelum dapat membaca perkataan tersebut. Bayangkan jika dia perlu membaca teks yang panjang,” keluh si ibu, Farah Alina P Ramli, 36, kepada Bernama, ketika dihubungi baru-baru ini.
Penjawat awam tersebut percaya masalah anaknya itu berpunca daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dan telahannya turut dipersetujui oleh pakar pendidikan yang yakin masalah sama dialami oleh ratusan ribu murid lain, sepanjang lebih 200 hari bersekolah dalam talian untuk keseluruhan sesi 2020 dan 2021.
Sesi persekolahan di negara ini melibatkan 198 hari persekolahan secara bersemuka dalam setahun, namun penularan pandemik Covid-19 memaksa kerajaan menutup sekolah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dan melaksanakan PdPR, yang menurut pakar mempunyai cabaran tersendiri, baik kepada pelajar, guru mahupun ibu bapa.
Bercerita lanjut tentang anak keduanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (Felda) Serting, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, ibu tiga anak itu mengakui cabaran PdPR bukan sahaja dihadapi oleh anaknya tetapi juga dirinya sendiri.
PdPR katanya menuntut komitmen yang tinggi daripada ibu bapa, dan bagi dirinya dan suami, perkara itu agak sukar dilakukan kerana perlu memenuhi tanggungjawab sebagai pekerja selain menguruskan anak-anak yang lain.
"Bayangkan, untuk kami mengajar Qawiem sahaja ambil masa, belum lagi diambil kira masa untuk abangnya yang berusia 10 tahun,” kata Farah Alina yang mengakui turut berdepan masalah dalam menyediakan peranti dan akses Internet untuk pembelajaran kedua-dua anaknya itu.
Justeru katanya, pembukaan sekolah penggal 3 2021/2022 yang bermula minggu ini memberi sedikit kelegaan buatnya kerana murid Tahun Dua sudah dibenarkan hadir ke sekolah sepenuh masa, bukan lagi secara bergilir.
"Saya tidak mahu masalah pembelajaran Qawiem ini berlarutan kerana kami tidak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen sekiranya dia masih tidak boleh membaca,” ujarnya.
Murid sekolah berdepan risiko keciciran pembelajaran ekoran pandemik Covid-19.
Keciciran pembelajaran
Masalah yang dihadapi oleh murid seperti Qawiem Fuadi ini tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya menurut pakar pendidikan yang dihubungi Bernama, isu berkenaan perlukan penyelesaian segera dan menyeluruh.
Ini kerana kata mereka kelompok murid yang memulakan pendidikan rasmi Tahun Satu pada 2020, iaitu ketika pandemik mula menular di negara ini, merupakan golongan paling berisiko mengalami kehilangan pembelajaran atau learning loss, sementelah mereka akan memasuki Tahun Tiga pada Mac nanti.
"Kegagalan murid menguasai dengan baik tiga kemahiran asas - membaca, menulis dan mengira (3M) akan memberi kesan kepada pembelajaran mereka di peringkat tinggi dan seterusnya ketinggalan sekiranya tiada langkah intervensi diambil," kata Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor.
Menurut Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, kesan daripada masalah berkenaan akan dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, khususnya dari segi kualiti modal insan pada masa tersebut.
"Unesco menganggarkan 50 peratus murid langsung tidak hadir ke sekolah sepanjang pandemik. Walaupun tiada data yang jelas tentang situasi di Malaysia, saya jangkakan keadaan hampir sama berlaku di sini,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu membimbangkan kerana kajian di luar negara mendapati penutupan sekolah selama lapan minggu sudah boleh menyebabkan kehilangan pembelajaran.
"Sekiranya murid tersebut hadir secara PdPR, peratus murid yang benar-benar dapat menghayati PdPR juga agak membimbangkan.
"Justeru, apakah strategi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menggantikan ilmu pengetahuan yang sepatutnya diraih oleh murid selama dua tahun (sepanjang pelaksanaan PdPR) itu?,” katanya.
Beliau juga menegaskan strategi KPM tidak boleh berbentuk one-off atau hanya selama dua hingga tiga bulan, sebaliknya, perlu dilaksanakan secara berterusan merangkumi program mitigasi dan intervensi dengan matlamat jangka pendek dan jangka panjang, termasuk mewujudkan kembali kelas peralihan jika perlu.
KEMENTERIAN Pendidikan disaran tampil dengan strategi lebih berkesan mengatasi isu keciciran pembelajaran.
Polemik 3M
Mengulas lanjut, beliau berkata isu kelemahan penguasaan 3M dalam kalangan pelajar sudah menjadi polemik sebelum pelaksanaan PdPR dan tidak menolak masalah tersebut bertambah parah sekarang berdasarkan temu bual tidak formal beliau dengan warga pendidik.
"Saya khuatir KPM terlepas pandang kerana kesan learning loss bukan dapat dilihat sekarang berikutan kita tiada sistem peperiksaan umum untuk mengetahui kesan keseluruhan di seluruh negara disebabkan pemansuhan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), dan akan hanya diketahui semasa pelajar menduduki SPM atau ketika di alam pekerjaan,” ujarnya.
Setakat ini, hanya Johor mempunyai data tentang masalah itu dengan media melaporkan kira-kira 20 peratus daripada 131,281 murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga) di negeri berkenaan mengalami kesukaran menguasai 3M.
Pakar juga melihat langkah KPM melanjutkan sesi persekolahan, misalnya untuk murid Tahun Dua dilanjutkan hingga Februari 2022 sebelum naik ke Tahun Tiga pada Mac, masih belum mencukupi bagi membantu murid dalam soal penguasaan 3M.
Isu kesesakan dalam bilik darjah dengan sesetengah sekolah terpaksa meletakkan lebih 40 murid di dalam sebuah kelas memburukkan lagi permasalahan 3M ini kerana guru sukar memberi perhatian yang mencukupi terhadap setiap murid, kata Dr Anuar Ahmad, pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM.
Bilangan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah itu tidak seiring dengan saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dan dipersetujui ramai pakar, bahawa jumlah yang sesuai ialah 20 hingga 25 murid.
"Langkah intervensi KPM dalam menangani isu keciciran pembelajaran ini juga perlu memastikan bilangan murid kelas intervensi membaca, menulis dan mengira tidak terlalu sesak kerana ini akan menggugat keberkesanan pengajaran.
"Isu kelas terlalu ramai murid sudah lama dan kritikal. KPM perlu buat sesuatu untuk menyelesaikannya, apatah lagi jumlah murid tidak dapat membaca diunjur bertambah akibat daripada gangguan pembelajaran semasa pandemik,” kata Anuar.
Kajian membuktikan murid yang tidak menguasai dengan baik kemahiran 3M di Tahap Satu sekolah rendah akan berhadapan kemerosotan prestasi akademik di Tahap Dua (Tahun Empat hingga Enam) dan seterusnya akan keciciran apabila di peringkat sekolah menengah.
Ramai ibu bapa mengakui berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan proses PdPR yang ditetapkan KPM.
Jurang pembelajaran
Isu keciciran pembelajaran ini turut diperakui oleh KPM yang mengaku penutupan sekolah yang agak lama itu menimbulkan isu learning loss dan learning gap dalam kalangan murid, melibatkan umumnya kumpulan B40.
Bagi menangani permasalahan tersebut, KPM melaksanakan pelbagai langkah, antaranya Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (PerkasaKU) yang bermula 1 Sept 2021 hingga 28 Feb 2022, meliputi murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Lima.
Bagaimanapun, Anuar melihat pelaksanaan program bagi memulihkan tahap penguasaan pembelajaran murid itu sebagai kurang jelas dari segi matlamat selain tidak komprehensif mahupun bersungguh-sungguh kerana dilaksanakan hanya hingga akhir bulan depan.
"Kita memerlukan sebuah program yang lebih menyeluruh dan jelas matlamat yang ingin dicapai bagi menyelesaikan isu keciciran pendidikan akibat Covid-19. Ini penting, kerana jika keciciran pembelajaran berterusan dalam jangka masa yang lama, maka akan berlaku keciciran pendidikan disebabkan hilang motivasi kerana sekolah ditutup lama selain masalah kemiskinan B40,” katanya.
(Keciciran pembelajaran merujuk murid masih lagi bersekolah tetapi berada dalam keadaan sukar menguasai pembelajaran manakala keciciran pendidikan (lost generation) merujuk murid langsung tidak dapat meneruskan persekolahan dalam satu jangka masa panjang sehingga meningkatkan kadar buta huruf atau terus berhenti sekolah).
KPM sebelum ini melaporkan seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021.
Pelaksanaan PdPR diakui memberikan kesan besar kepada B40 yang berdepan kesukaran menyediakan peranti dan akses Internet untuk anak mereka, sekali gus menyebabkan berlaku keciciran pembelajaran, dan kini pelajar daripada golongan itu berisiko keciciran pendidikan.
Ketika penularan pandemik memuncak di negara ini, ada golongan B40 terpaksa membuat pilihan yang sukar - antara menyediakan makanan untuk keluarga atau pendidikan anak.
"Anak-anak B40 adalah antara golongan paling terkesan dalam penularan pandemik kerana berdepan risiko keciciran pendidikan, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia. Kajian Bank Dunia pada 29 Okt 2021 menunjukkan lebih 70 peratus kanak-kanak yang berhadapan risiko berhenti sekolah ketika pandemik berlaku di negara yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana.
"Atas sebab itulah kita amat memerlukan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi mengenal pasti kumpulan keluarga miskin yang perlu diberikan bantuan untuk mengelak situasi keciciran pembelajaran dan pendidikan menjadi barah,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram