Baru sehari lancar Ops Campur, KPDN rampas 300 kampit beras bernilai lebih RM15,000


  • Primer
  • Selasa, 11 Mac 2025

Rampasan beras dilakukan oleh KPDN dalam Ops Campur.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 300 kampit beras daripada 213 premis pembungkusan dan pembuatan ketika Ops Campur dijalankan.

Dalam operasi yang bermula pada Isnin, Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka melibatkan 48 premis yang diperiksa.

Menurut Azman, nilai rampasan adalah sebanyak RM15,321.40.

BACA LAGI: Stok beras cukup 6 bulan, cuaca buruk jejas pengeluaran makanan negara — Mohamad Sabu

BACA LAGI: 50 peratus beras tempatan dicampur dalam beras import — MARDI

"Kesemua beras yang disita akan dihantar ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta ke Jabatan Kimia untuk dianalisis," jelasnya pada Selasa.

Sebelum itu, Menteri KPDN, Datuk Seri Armizan Mohd Ali mengarahkan siasatan dijalankan terhadap beras import yang dicampur dengan beras tempatan. Perbuatan itu adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.

Menurut Armizan, siasatan tertumpu secara khusus kepada beras yang dijual dibawa label "Super Import" atau yang dilabel dengan warna biru pada bungkusan.

Armizan meninjau jualan beras di pasar raya tempatan. — Facebok/Armizan Mohd Ali

"Saya mengarahkan bahagian penguatkuasaan untuk melakukan siasatan segera mengenai isu beras campur yang dijual di pasar mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, yang merupakan bidang kuasa kementerian," katanya kepada The Star.

"Siasatan kami hanya tertumpu kepada bungkusan beras 'Super Import' yang mempunyai label berwarna biru.

"Di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) 2001, yang dikeluarkan melalui Peraturan-Peraturan Perlu (Kawalan Bekalan Beras) 1974, dinyatakan dalam Perenggan 2(c) bahawa 'Super Import' merujuk kepada beras yang diperoleh sepenuhnya dari luar Malaysia.

"Ini bermakna beras yang dijual di bawah kategori ini mesti mengandungi 100 peratus beras import. Jika didapati pek berlabel biru 'Super Import' mengandungi beras tempatan, ia akan melanggar undang-undang." katanya.

Armizan turut menegaskan bahawa Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 menyatakan ia adalah kesalahan jika perihal dagang palsu digunakan untuk mengguna, membekal atau menawarkan untuk jualan.

"Kami bekerja rapat dengan Mardi dan Jabatan Kimia untuk menganalisis sampel beras. Teknologi cap jari DNA beras yang baru dibangunkan Mardi dijangka dapat meningkatkan ketepatan dan keberkesanan dalam usaha melakukan penyiasatan dan penguatkuasaan.

"Jika ada sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil berdasarkan perundangan sedia ada," ujar Armizan. — The Star/KHOO GEK SAN/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram