
HASIL ujian dijalankan ke atas beras import mendapati sekitar 45 hingga 50 peratus daripadanya dicampur dengan beras putih tempatan.
Perkara itu sekali gus menjawab segala spekulasi berkaitan beras tempatan yang didakwa telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.
Dalam pada itu, semakan di pasar raya negara mendapati beras import biasanya dijual pada harga lebih tinggi berbanding beras tempatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita warga emas kena serang, gelang emas diragut penunggang motosikal di Simpang Pulai
Menurut ketua pusat penyelidikan bioteknologi dan nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Muhammad Zamharir Ahmad, sebanyak 5,000 sampel dari pelbagai kilang beras seluruh negara telah dihantar ke MARDI.
"Sampel-sampel ini telah diserahkan dari September 2023 hingga Mac 2024 oleh anggota penguat kuasa dari bahagian kawalan padi dan beras Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
"Antara 45 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel yang kami terima menunjukkan bukti beras tempatan dicampur dengan beras import," katanya.
Menurut pegawai penyelidik kanan MARDI, Mohd Shahril Firdaus Abd Razak, ujian DNA molekul ke atas sampel berkenaan mendapati beg yang dilabel sebagai import mempunyai antara 30 hingga 70 peratus beras tempatan.
"Dalam pangkalan data, kami mempunyai kira-kira 50 penanda DNA varieti beras tempatan.
"Satu varieti tempatan, MR297, adalah antara 10 yang paling biasa ditanam di Malaysia dan menerima subsidi kerajaan.
"Apabila ujian sampel dijalankan, ada yang mengandungi beras MR297, walaupun sampel itu datang daripada beg yang dilabel sebagai beras import," katanya.
Kesemua keputusan ujian tersebut telah dihantar semula kepada pasukan petugas gabungan ops kementerian untuk tindakan selanjutnya.
"Walaupun isu ini berlaku, kita tidak mempunyai undang-undang khusus yang melarangnya.
"Jadi kementerian menggunakan bukti ini untuk merangka undang-undang untuk mengawal industri padi dan beras kita dengan lebih baik," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram