
KEHILANGAN adik kepada pemain Negeri Sembilan FC, Hadin Azman iaitu Nur Khalisya disahkan tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, remaja perempuan berusia 16 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat sekitar 3.30 pagi di sebuah rumah dekat Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Ketika dijumpai, Nur Khalisya sedang tidur dan dia dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk diserahkan kepada keluarganya.
BACA LAGI: Adik perempuan tonggak skuad Jang hilang sejak Februari, kali terakhir dilihat depan sekolah
Mohamad Lazim turut mengesahkan yang Nur Khalisya berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemerikasaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
"Kehilangan remaja itu tidak membabitkan apa-apa unsur jenayah dan remaja itu juga sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkannya dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan fizikal.
"Remaja itu sudah dibenarkan pulang dan diserahkan kepada keluarga angkat yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Sebelum ini, Nur Khalisya ditemukan hilang sejak 26 Februari lalu dengan dia kali terakhir dilihat di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Rumah di mana dia ditemukan pihak berkuasa itu adalah rumah keluarga angkat kepada Nur Khalisya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram