Bebas kritik isu sosial dan semasa, buku zine buka peluang penulis sampaikan mesej


  • Massa
  • Khamis, 16 Jan 2025

Buku zine yang biasanya menceritakan tentang isu-isu semasa.

ZINE adalah satu bentuk penerbitan yang memberikan kebebasan penuh kepada penciptanya untuk mengekspresikan diri.

Ia bukan hanya tentang menulis, tetapi juga melibatkan seni reka bentuk, ilustrasi dan pemikiran kritikal yang mencabar norma-norma penerbitan arus perdana.

Dalam dunia yang semakin maju ini, minat terhadap buku zine semakin berkembang kerana sifatnya bebas, kreatif, dan berdikari.

BACA LAGI: [VIDEO] Simen taman rekreasi di Bandung dicungkil-cungkil remaja taksub aplikasi buru syiling

BACA LAGI: Tingkat kesalinghubungan laluan udara, Pulau Pinang perkukuh sektor pelancongan di Malaysia di mata dunia

6071045889507574608

Tokosue antara kedai buku yang memberi peluang dan ruang pada penulis dan pengkarya zine.

Zine juga singkatan untuk fanzine atau majalah yang dihasilkan secara do it yourself (DIY) atau terbitan sendiri.

Mengulas lanjut tentang industri zine, penulis Suzana Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sue Emoqwin berkata, selain bebas berkarya, ia lebih banyak memberi keuntungan berbanding hanya menjual karya mereka melalui pihak ketiga.

Sue juga menyokong dan menonjolkan lagi konsep penerbitan bebas itu dalam kalangan masyarakat Malaysia menerusi perniagaan kedai bukunya, Tokosue di Kuala Lumpur.

"Sebenarnya, semua orang ada hak untuk hasilkan zine, tetapi dia perlu ada gaya tersendiri.

"Orang ramai tertarik dengan zine ini kerana estetik dan keaslian.

"Tapi kebanyakan zine ada penceritaan merangkumi kritikan sosial yang berkaitan dengan isu-isu semasa," katanya kepada Majoriti.

6071045889507574612

Bengkel zine juga kerap dilakukan di Tokosue.

Sue turut berkongsi tentang bengkel-bengkel diadakan di Tokosue, khususnya pada Julai setiap tahun untuk mengumpulkan mereka yang ingin belajar lebih lanjut berkaitan penerbitan zine.

Di kedai buku itu juga memberi peluang buat penulis dan pengkarya menghasilkan karya mereka dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui puisi, cerita pendek atau seni visual.

Kata Sue, banyak karya yang diterbitkan di Tokosue mengandungi unsur-unsur kritik sosial dan satira walaupun disampaikan dalam bentuk yang tidak terlalu langsung.

"Satu lagi aspek menarik dalam dunia zine adalah bagaimana ia memberi ruang kepada penulis untuk menyampaikan mesej sosial melalui karya mereka.

"Contohnya, dalam salah satu cerita, terdapat unsur humor (lawak) yang berkaitan dengan isu keganasan domestik yang mana cerita tersebut memaparkan bagaimana tiada sensitiviti dalam berkomunikasi boleh memburukkan keadaan.

"Ini juga antara cara untuk meningkatkan rasa empati dan kesedaran dalam kalangan masyarakat," jelasnya.

Menurutnya, zine secara tidak langsung menyuarakan tentang konflik-konflik masyarakat termasuk keganasan rumah tangga.

Bagi Sue, dunia zine adalah lebih daripada sekadar perniagaan,tetapi ia cara untuk menyampaikan mesej penting, mempertahankan suara yang kurang didengari dan merayakan keunikan dalam setiap karya dihasilkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram