Adik ipar buat repot, polis Sepang buru suami tampar isteri dalam pusat beli-belah


  • 112
  • Isnin, 27 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan suspek menampar isterinya hadapan khalayak ramai dalam pusat beli-belah di Sepang, Selangor.

POLIS kini mengesan seorang lelaki yang bertindak kasar dengan menampar isterinya di hadapan khalayak ramai dalam sebuah pusat beli-belah di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mengesahkan kejadian yang tular di media sosial sejak Ahad.

Norhizam berkata, pihaknya juga menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.

BACA LAGI: Hari santai bertukar tragedi, ibu panik tangan anak tertusuk serpihan ‘fiber glass’ lepas pegang besi di Lumut

BACA LAGI: [VIDEO] Tulisan 'help', 'trafico' dikesan dalam peta Google di LA undang tanda tanya

Katanya, pengadu merupakan adik mangsa mengesahkan bahawa indibvidu yang dipukul adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun.

"Manakala, lelaki yang memukul mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga suami kepada wanita itu.

"Polis sedang dalam proses merakam keterangan saksi berkenaan kejadian itu dan pada masa sama giat mengesan keberadaan suspek dan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533.

Sebelum ini, kejadian itu sempat dirakam menerusi video siaran langsung (live) berdurasi 29 saat.

Video tersebut juga memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah terbabit sambil memegang plastik di tangannya sebelum berhenti di pintu masuk utama.

Beberapa saat kemudian, suspek bertopi dan sambil memegang tangan seorang kanak-kanak menghampirinya lalu menampar wanita tersebut secara tiba-tiba.

Suspek juga dilihat sempat bercakap sesuatu sebelum berlalu pergi dari lokasi itu bersama mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram