
KEJADIAN ribut dan puting beliung yang melanda kawasan di Sungai Besar, Sekinchan, Selangor pada Khamis sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk setempat termasuk Linggeswary, 37, yang merupakan antara mangsa bencana tersebut.
Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, ibu kepada dua orang anak itu berkata, kejadian berlaku selepas pulang dari sekolah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, dia baru sahaja menghantar anak sulungnya ke sekolah sebelum terdengar bunyi pelik di luar rumah.
BACA LAGI: [VIDEO] Puting beliung landa Sekinchan, 8 kediaman rosak teruk
BACA LAGI: KPM umum 3 hari cuti sekolah tambahan sempena Aidilfitri
Keadaan bumbung rumah Linggeswary selepas kejadian.
Linggeswary berkata, bunyi aneh itu membuatkannya terdetik untuk menjenguk ke luar tingkap.
"Bila saya tengok di luar ada puting beliung besar datang dari kanan dan dalam masa dua hingga tiga minit ia menghampiri rumah kami.
"Angin puting beliung itu berpusing-pusing kira-kira empat minit dan ada bunyi yang sangat kuat.
"Memang waktu itu rasa seperti gempa kerana tingkap dan pintu rumah bergegar dengan sangat kuat," katanya kepada Majoriti.
Katanya, dia, bapanya dan anak keduanya yang merupakan kanak-kanak autisme terpaksa berpaut pada tiang kerana bimbang rumahnya akan roboh.
Mereka juga terpaksa bertahan dalam keadaan yang sangat menakutkan pada waktu itu.
Selepas kira-kira empat minit, angin kencang beransur reda tetapi dia melihat pergerakan puting beliung itu ke rumah-rumah jiran.
Rachimenen, 67, bapa kepada Linggeswary yang tidak pernah mengalami situasi menakutkan itu.
"Ia tidak bergerak lurus, tetapi berpusing-pusing, belok ke kanan dan kiri sebelum menghilang," ceritanya.
Linggeswary berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku di kawasan itu dan tidak pernah menyaksikan kejadian sedemikian sepanjang hidupnya.
Kejadian tersebut bagaimanapun merosakkan hampir keseluruhan rumahnya, ditambah lagi dengan hujan lebat selepas puting beliung.
"Atap tercabut, siling roboh, wayar elektrik rosak, dan banyak peralatan rumah seperti tilam, peti sejuk serta televisyen rosak kerana terknaair hujan.
"Tilam semua sudah basah dan rumah bertakung sampai anak kecil saya boleh bermain air," katanya lagi.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira tujuh rumah di kawasan itu mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tersebut.
Bersyukur bantuan awal tiba dengan pantas termasuk pihak berkuasa yang melakukan penilaian kerosakan dengan baik.
Puting beliung itu turut memusnahkan tiang rumahnya.
"Kami juga sudah membuat laporan polis dan berharap ada bantuan segera untuk membaiki rumah.
"Anggaran kerugian kami sekitar RM100,000 rasanya. Tetapi tak pasti berapa lama nak baiki semua.
"Ada juga letak barang-barang yang masih baik di rumah jiran buat sementara waktu," ujarnya.
Susulan itu, Linggeswary berharap agar pihak berwajib dapat mempercepatkan bantuan bagi memulihkan kediamannya dan rumah-rumah jiran yang turut terjejas.
"Suami perlu bekerja dan anak-anak perlu ke sekolah, jadi kami amat berharap dapat kembali ke rumah secepat mungkin," katanya yang kini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bersama keluarganya.
Sebelum ini, sebanyak lapan kediaman terjejas dalam kejadian puting beliung di lokasi terbabit.
Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram