[VIDEO] Ibu meraung sebelum pitam, 2 penunggang motor maut dirempuh remaja langgar lampu isyarat merah di Senawang


  • 112
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Kereta dipandu remaja 18 tahun itu remuk selepas melanggar dua mangsa menaiki motosikal.

PILU hati seorang ibu apabila melihat anaknya tidak bernyawa selepas terlibat dalam kemalangan maut di Matahari Height, Senawang, Negeri Sembilan pada Khamis.

Menerusi video tular di media sosial, seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang daripada mangsa yang meninggal dunia dalam nahas itu tiba di lokasi kejadian dalam keadaan penuh emosi.

Wanita tersebut juga dilihat menjerit dan bertanya tentang keadaan anaknya sambil ditenangkan anggota polis.

 

BACA LAGI: Dua maut, 3 parah nahas Myvi hilang kawalan di Alor Setar

BACA LAGI: Hanya jumpa selipar tepi sungai, budak 6 tahun dikhuatiri lemas di Keningau

 

 

Beberapa saat kemudian, dia kelihatan lemah dan terus rebah selepas dikatakan melihat tubuh anaknya yang kaku di tepi jalan.

Sebelum itu, dua remaja meninggal dunia selepas menjadi mangsa kemalangan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, sebuah kereta yang dipandu oleh remaja lelaki berusia 18 tahun melanggar lampu isyarat merah di sebuah persimpangan sebelum merempuh dua mangsa tersebut yang menaiki motosikal.

Ketua Polis Seremban, Asistan Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa yang terkorban adalah berusia 15 dan 16 tahun.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta dan penumpangnya berusia 17 tahun sedang menuju ke Paroi dari Senawang semasa kemalangan berlaku.

"Siasatan turut mendapati yang pemandu gagal untuk berhenti pada lampu merah di persimpangan yang menyebabkan dua penunggang motosikal datang dari arah kiri melanggar keretanya," kata Mohamad Hatta.

Dalam masa yang sama, Mohammad Hatta mengesahkan yang terdapat seorang lagi penunggang bersama pembonceng dan pemandu serta penumpang lain mengalami kecederaan parah.

Mayat mangsa kemalangan itu kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau untuk siasatan.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram