
SEORANG wanita tempatan bersama tiga rakannya bertindak menculik lelaki warga Sri Lanka dari sebuah kedai cuci kereta di Gelang Patah, Johor pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian berlaku kerana seorang daripada suspek wanita terbabit berang ditinggalkan kekasihnya sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memaklumkan pekerjanya itu dilarikan kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, mangsa berusia 26 tahun itu merupakan pekerja di sebuah kedai cuci kereta di kawasan Gelang Patah.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat serbuan bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi keesokan harinya.
"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 37 tahun di kawasan Kuala Selangor dan kawasan Bestari Jaya, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Beliau juga berkata, hasil siasatan mendapati mangsa adalah kekasih salah seorang suspek wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram