Hanya seri bertemu Everton, legenda EPL ‘sekolahkan’ 3 bintang Man United termasuk Bruno Fernandes


  • Podium
  • Ahad, 23 Feb 2025

Bruno tidak terlepas daripada kritikan meskipun tampil membantu The Red Devils mengelak daripada mengalami kekalahan. — Agensi

DUA gol pada babak kedua permainan mengelakkan Manchester United daripada mengalami dua kekalahan berturut-turut ketika berdepan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Setelah ketinggalan 0-2 selepas separuh masa pertama, skuad The Red Devils tampil lebih bersemangat untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Bruno Fernandes dan Manuel Ugarte.

Sumbangan kedua-dua pemain tengah itu menyaksikan Manchester United dapat menarik nafas lega apabila pulang dengan satu mata untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang dengan kelompok 10 teratas.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia bukan budak lagi', Alan Shearer 'basuh' Rashford

BACA LAGI: Anggapan yang salah fasal Salah, siapa yang bersalah?

Manchester United jelas bergelut dalam aksi ke-26 EPL musim ini di tempat lawan. — Agensi

Bagaimanapun, bagi penyokong, mereka beranggapan keputusan seri 2-2 itu tidak wajar diraikan kerana ia mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pasukan yang masih belum diselesaikan meskipun dengan kehadiran Ruben Amorim.

Malah, legenda EPL, Alan Shearer tampil mengkritik persembahan skuad The Red Devils, lebih-lebih lagi dalam aspek pertahanan pada babak pertama yang menyaksikan gawang mereka terlalu mudah dibolosi.

Kritikan itu diarahkan kepada tiga pemain utama iaitu Bruno, Rasmus Hojlund dan Diogo Dalot yang tidak memberi tekanan terhadap pemain Everton ketika pasukan tuan rumah memburu jaringan pembukaan.

"Anda boleh nampak dengan jelas bagaimana ada yang hanya berjalan dengan bersenang-lenang. Tengoklah ruang dimiliki pemain Everton disebabkan kemalasan pemain Manchester United.

"Pada saya, ini sesuatu hal menghairankan. Saya tak pasti apa yang mereka lakukan di sana. Tiada sebarang usaha dipamerkan, ini memudahkan pihak lawan untuk mencipta peluang," katanya.

Alan Shearer jelas kurang berpuas hati dengan sikap sambil lewa sebahagian pemain Manchester United. — Agensi

Penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam EPL itu turut mengakui kekecewaannya terhadap pergerakan dipamerkan Bruno yang dianggap terlalu malas sehingga membolehkan pasukannya ketinggalan.

Jelasnya, gol dihasilkan skuad The Toffees menerusi Beto dan Abdoulaye Doucoure layak dicatatkan kerana mereka lebih bersungguh-sungguh berbanding anak-anak buah Amorim.

"Apa yang boleh saya katakan, sepanjang 72 minit permainan, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan dengan pasukan pelawat jelas bergelut untuk memberi impak," kata bekas penyerang dan kapten Newcastle United itu.

Keputusan seri itu menyaksikan Manchester United kekal di tangga ke-15 EPL dengan 13 mata membezakan mereka berbanding Ipswich Town yang berada dalam zon penyingkiran selepas 26 perlawanan.

Jadi, keputusan lebih baik perlu dicatatkan skuad The Red Devils dalam aksi selepas ini ketika mereka berdepan pasukan bergelut itu di Stadium Old Trafford pada Khamis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram