Harga santan naik hanya sementara, rakyat jangan panik — Mat Sabu


  • Primer
  • Khamis, 06 Mac 2025

Kenaikan harga santan disifatkan sebagai bermusim dan hanya sementara. — Gambar hiasan

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan bahawa kenaikan harga santan ketika ini adalah bermusim dan berkait rapat dengan faktor permintaan dan penawaran bekalan.

Beliau pada masa sama meminta agar rakyat tidak panik kerana pihak kementerian sedang giat melaksanakan beberapa langkah intervensi segera bagi menangani isu tersebut.

Menurutnya, lambakan kelapa tua tempatan berpunca daripada harga kelapa import yang lebih rendah daripada harga kelapa tempatan pada masa itu.

BACA LAGI: Tingkat kerjasama strategik, perkukuh pemantauan bendung ancaman perjudian online

BACA LAGI: Dari Bangi ke Sabah, Afiqah pelopor wanita dalam dunia perlombongan emas

Mohamad Sabu meminta agar rakyat tidak mudah panik dengan kenaikan harga santan.

Beliau berkata, faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga santan juga adalah disebabkan peningkatan permintaan dan kekurangan bekalan.

"Antara punca kekurangan bekalan kelapa tua adalah disebabkan oleh perubahan cuaca yang menjejaskan produktiviti tanaman kelapa di dalam dan di luar negara.

"Ia termasuk kecenderungan petani tempatan untuk menjual kelapa muda berbanding kelapa tua yang diperlukan dalam pemprosesan santan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambahnya, di bawah intervensi jangka pendek, kementeriannya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk sebanyak 640,000 biji kelapa tua setiap bulan daripada Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan bekalan kelapa bagi kegunaan Semenanjung, terutama semasa musim perayaan mencukupi.

Katanya, sehingga 4 Mac 2025, FAMA dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) sudah membawa masuk bekalan kelapa tua sebanyak 734,096 biji dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM1.615 juta.

"Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal.

"Bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara.

"Langkah ini dijangka akan membantu menstabilkan harga serta memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan dan produk berasaskan kelapa lain," jelasnya.

Justeru, rakyat dinasihatkan untuk tidak panik dan terus menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram