
SUKAR untuk menidakkan sebelum ini makanan yang disajikan di dalam pesawat sering menjadi bahan jenaka dan menerima aduan daripada penumpang.
Ia berikutan segelintir penumpang menyifatkan hidangan tersebut hambar dan tidak menyelerakan.
Pelbagai faktor menyumbang kepada hidangan berkualiti rendah itu termasuk cabaran pengeluaran besar-besaran, kesan ketinggian pada cita rasa dan kekangan untuk menyajikan makanan segar di tengah-tengah penerbangan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Bagaimanapun, sebuah syarikat memiliki visi untuk mengubah tanggapan tersebut adalah penyedia jenama restoran dan makanan segera, Santan yang sentiasa berinovasi dalam penciptaan, rasa dan penghantaran makanan di dalam penerbangan.
Dikenali sebelum ini sebagai perkhidmatan katering untuk Capital A Bhd., syarikat itu pada hari ini mampu berdiri dengan kaki sendiri dan menetapkan matlamat baharu selepas kejayaan operasinya semasa pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh memberitahu StarBizWeek bahawa syarikatnya kini sedang dalam proses memperluaskan pelan perancangan.
Beliau berkata, salah satunya adalah inovasi menerusi penghasilan Kapsul Kopi Santan, sekali gus melonjakkan operasi syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh.
“Teknologi ini menggunakan kaedah pengeringan beku. Konsep sama seperti pengisar kopi, tetapi dilakukan pada skala lebih besar dan dibungkus ke dalam kapsul,” jelasnya yang turut memaklumkan produk berkenaan sudah dipatenkan.
Katanya, sejak pertama kali diperkenalkan, penumpang penerbangan boleh mengetahui perbezaan berbanding kopi biasa.
Ini dibuktikan apabila jumlah permintaan terhadap hidangan tersebut meningkat empat kali ganda berbanding sebelumnya.
Catherine dan pasukannya mengambil masa tiga bulan daripada idea konsep kapsul berkenaan kepada pelancaran sebenar pada Julai tahun lepas.
“Kapsul kopi adalah transformatif kepada seluruh industri penerbangan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa syarikat multinasional turut menunjukkan minat tinggi terhadap produk berkenaan.
Selain kopi, hidangan Santan turut menjadi sesuatu yang sentiasa menarik minat ramai bermula dengan penumpang di atas kapal terbang.
Santan terkenal sebagai penyedia hidangan di dalam pesawat. — Santan
“Memang menarik bagaimana konsep makanan syarikat penerbangan telah dipersembahkan dalam industri.
"Orang sama ada menyukai atau membencinya. Dan kami mahu mereka mencintai Santan," katanya.
Beliau menambah terdapat syarikat penerbangan lain juga telah menghubungi syarikatnya mengenai potensi bagi menyediakan makanan untuk operasi mereka.
Selepas mengambil alih dan menduduki jawatannya pada tahun lalu, Catherine berkata, antara perkara pertama dilaksanakannya adalah menyeragamkan item menu di semua lokasi AirAsia.
Beliau berkata, meskipun masih menekankan keperluan menyerap budaya dan cita rasa tempatan dalam pemilihan menu, Santan mengekalkan beberapa 'item wira' seperti Pak Nasser Nasi Lemak, dan Nasi Ayam Uncle Chin.
"Setelah kami mengubah semula campuran produk, menyusun strategi harga dan menentukan cara kami boleh meningkatkan volum, kemudahan pratempah makanan menunjukkan perkembangan cukup positif dan kami mencapai hasil tertinggi bagi setiap penumpang pada 2019," katanya.
Menu sama juga ditawarkan di kedai runcit bekerjasama dengan Santan, sebaik sahaja syarikat menyedari ia boleh menerokai model perniagaan ke perniagaan dan menjana lebih banyak keuntungan.
“Kami mula membekalkan makanan sejuk beku kepada rangkaian Zus Coffee dan kedai serbaneka KK Mart pada 2023.
Ujarnya, selepas melihat kejayaan produk runcitnya, ia turut menarik perhatian untuk disediakan di stesen minyak Petronas.
Catherine berkata, walaupun jenama runcit pada mulanya tidak mempunyai keyakinan untuk menjual hidangan menu Santan, kesemua daripada mereka bagaimanapun terkejut apabila makanan terbabit terjual pada kadar agak pantas.
Produk makanan Santan kini boleh didapati di KK Mart dan stesen minyak Petronas. — Santan
“Orang ramai mula menyedari mereka tidak perlu menaiki penerbangan untuk menikmati makanan Santan kerana kini semuanya boleh didapati di kedai runcit ini,” ujarnya.
Pada masa ini, makanan sejuk beku Santan boleh didapati antaranya di 100 kedai KK Mart dan 100 kedai Petronas.
“Bagi Zus, kami sedang melihat kira-kira 400 kedai tidak lama lagi. Selain itu, kami mempunyai kerjasama baharu dengan satu lagi rangkaian minuman besar yang akan menyediakan hidangan kami di kira-kira 390 kedai dengan set pelancaran pada pertengahan Julai,” katanya.
Usaha pengembangan itu dipacu bagi meningkatkan kehadiran Santan dalam pasaran runcit dengan memanfaatkan kekuatan syarikat dalam menyediakan makanan berkhasiat.
Sementara itu, Catherine turut berkongsi kemungkinan akan memasuki segmen pengangkutan darat, melalui kereta api dan bas sebagai respons kepada permintaan penumpang.
Kini orang ramai tidak perlu lagi menunggu menaiki pesawat untuk menikmati sajian santan.— Santan
“Anehnya, pengguna di media sosial memaklumkan kami tentang fakta bahawa penumpang kereta api dalam perjalanan jauh meminta makanan kami.
"Jadi, kami sedang usahakan sekarang dan berharap dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Catherine mendedahkan pada 2023, Santan mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM200 juta.
Negara seterusnya yang akan menjadi perhatian Santan ialah Indonesia dan Thailand pada suku pertama 2025.
Catherine juga menyatakan bahawa penyenaraian Santan di bursa saham juga sedang berada dalam perancangan.
“Inilah sebab utama mengapa kami berkembang dengan begitu pesat dan bekerja keras. Saya percaya Santan, dengan kecekapan, peluang dan inovasinya, patut diberi peluang untuk disenaraikan,” katanya. — The Star/LYDIA NATHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram