
BEKAS pemain nasional Sepanyol, Jonathan Viera dilaporkan akan menyertai skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) bagi dua perlawanan terakhir kejohanan berprestij itu.
Selain Viera, dua pemain Sepanyol iaitu Roque Mesa dan Alvaro Gonzalez turut dilaporkan akan menyarung jersi Harimau Selatan bagi baki saingan ACLE untuk membantu Harimau Selatan mara lebih jauh sekali gus layak ke pusingan kalah mati.
Walaupun sudah berusia 36 tahun, profil Viera tidak boleh dipandang rendah oleh pihak lawan kerana bintang Sepanyol itu mempunyai pengalaman luas beraksi di Asia dan Eropah.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 3 tahun, Kpah Sherman masih kempunan tunjuk 'taring' aksi final lawan JDT
UD Las Palmas, Valencia CF dan Rayo Vallecano antara kelab Sepanyol yang pernah disertai Viera sebelum beraksi di Asia bersama Beijing Guoan pada 2018.
Gaya permainan Viera yang mirip David Silva, Santi Cazorla, dan Ever Banega mempunyai keupayaan teknikal, kawalan bola, visi serta kemahiran mencipta permainan mampu membantu JDT di pentas Asia.
Seperti Silva dan Cazorla, Viera adalah pemain tengah kreatif yang cemerlang di ruang sempit, menggunakan sentuhan pantas dan pergerakan bijak untuk mengawal permainan.
Bekas pemain UD Las Palmas itu juga mempunyai persamaan dengan legenda JDT, Pablo Aimar kerana kedua-duanya adalah pemain tengah menyerang yang lincah dan mudah menghubungkan barisan tengah dengan serangan menggunakan ketepatannya.
Di sebalik kejayaan dan kisah kehebatan Viera, bapa kepada seorang anak lelaki itu juga mempunyai sisi yang hebat apabila sanggup meninggalkan bola sepak demi menjaga isteri tercinta.
Kisah itu bermula pada 2023 apabila Viera yang merupakan tonggak utama UD Las Palmas tidak turun beraksi menentang dalam beberapa perlawanan penting pasukan.
Tambah misteri lagi, Viera memuat naik status berbunyi 'tiada apa yang tinggal' untuk dunia bola sepak di media sosial hinggakan Presiden UD Las Palmas, Miguel Angel Ramirez ketika itu mendakwa bahawa pemain tersebut mempunyai hak untuk bersara pada bila-bila masa yang dia mahu.
Selepas timbul pelbagai spekulasi, Viera tampil memutuskan untuk menamatkan karier bola sepaknya demi berada di sisi isteri, Estephania Reyes yang ketika itu berjuang melawan penyakit serius.
Isterinya, Estefania, disahkan menghidap kanser rahim dan sudah menjalani pembedahan.
Viera ingin memberikan perhatian penuh kepada isteri tercinta dan oleh itu, dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bola sepak sehingga isterinya pulih sepenuhnya.
"Sentiasa begini, dengan senyuman. Itulah senjata terkuat kita. Saya sayang awak," tulis pemain bola sepak itu dengan penuh emosi di Instagramnya.
Selepas peristiwa itu, Viera meninggalkan UD Las Palmas dan kembali beraksi secara aktif pada Februari 2024 dengan menyertai UD Almeria.
Lima bulan bersama UD Almeria, Viera menyertai kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khor Fakkan selama tiga bulan sebelum bergelar ejen bebas pada September tahun lalu.
Sepanjang kariernya, Viera sudah beraksi dalam 443 perlawanan dan menjaringkan 118 gol dan 94 'assist' bersama lapan buah kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram