
PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tumpuan utama kepada siasatan dakwaan salah laku membabitkan ejen pekerja asing dan pegawai Jabatan Imigresen di pintu masuk negara.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa isu itu berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap keselamatan dan ekonomi negara berbanding kes melibatkan wartawan yang kini dalam siasatan.
Beliau menyatakan bahawa tindakan SPRM menahan wartawan berkenaan, yang didakwa berdasarkan laporan pihak berkepentingan menimbulkan persoalan dan kejanggalan.
"PAS percaya adalah lebih tepat dan sesuai tugas sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan dakwaan rasuah," katanya.
Sebagai contoh, pada September tahun lalu, SPRM telah menahan 37 pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disyaki menerima rasuah daripada sindiket kemasukan warga asing.
Dalam operasi khas yang dijalankan di beberapa negeri, SPRM juga telah merampas wang tunai lebih RM1 juta serta menyita pelbagai barangan berharga termasuk jongkong emas, jam tangan berjenama, kenderaan dan telefon bimbit.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa sekiranya dakwaan peras ugut terhadap wartawan terbabit benar, kes tersebut lebih wajar disiasat oleh pihak polis mengikut Kanun Keseksaan, bukannya di bawah Akta SPRM.
"Sekiranya laporan media tersebut pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi oleh undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?" soalnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan SPRM itu boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap agensi berkenaan.
"Ia boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini.
"Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram