Polis rampas 6 jenis ubat dari rumah Ridz Okumura, siasat kemungkinan Akiko Okumura kemurungan


  • 112
  • Khamis, 06 Mac 2025

Siasatan terhadap kes kematian Akiko Okumura (kanan) masih dijalankan oleh pihak polis.

SEBANYAK enam jenis ubat di kediaman usahawan terkenal Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridz Okumura dirampas pihak polis.

Rampasan itu dilakukan untuk membantu siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih dijalankan dengan melihat beberapa sudut.

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

BACA LAGI: Wanita Jepun jatuh tingkat empat kondo Subang Jaya sah isteri Ridz Okumura

Katanya, sudut siasatan termasuk melihat sama ada mangsa mempunyai masalah kemurungan atau kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan.

Polis juga menemui beberapa ubat dalam bentuk pil di dalam rumah tersebut dipercayai daripada Jepun.

"Kita akan dapatkan bantuan daripada pihak kedutaan (Jepun) untuk kenal pasti apa ubat-ubat yang dia (Akiko) ambil, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini," katanya pada Khamis.

Pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya arwah Akiko mempunyai sejarah menerima rawatan kemurungan di Malaysia atau Jepun.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta bantuan pakar daripada Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti bahan dan kegunaan ubat-ubatan yang dirampas itu.

Tambahnya, pihak polis setakat ini sudah merakam keterangan enam individu selain suami mangsa serta anaknya.

Manakala, empat lagi individu yang dirakam keterangan adalah kakitangan hospital yang menjalankan bedah siasat serta saksi awam yang ada di tempat kejadian semasa mayat mangsa ditemui. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram