
JUARA bertahan Piala Cabaran, PDRM FC berjaya mara ke pusingan final kejohanan itu selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan sepakan penalti 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Aksi penuh elemen kejutan itu menyaksikan perlawanan diheret hingga ke penentuan sepakan penalti apabila masing-masing terikat dengan jaringan 1-1 selepas berhempas pula pada 90 minit permainan dan 30 minit masa tambahan.
Kedua-dua pasukan masing-masing membawa bekalan tiga gol dari aksi separuh akhir pertama di Stadium Selayang, Selayang, Selangor. Oleh itu tidak terkejut jika KDA FC dan PDRM menurunkan skuad terbaik mereka.
BACA LAGI: 'What a comeback', pemain tiada gaji Kedah ajar erti perjuangan sebenar di Selayang
BACA LAGI: Milos macam belajar sesuatu, tapi masih tak cukup bantu Kedah benam PDRM
Pasukan kendalian Victor Andrag menurunkan gandingan Aiman Afif dan Milos Gordic untuk menjaga bahagian hadapan skuad Hijau Kuning. Ifwat Akmal turut diletakkan sebagai penjaga gol apabila sebelum ini dia dimasukkan sebagai pemain gantian.
Manakala, pasukan pelawat pula mempertaruhkan Shahril Fikri dan Ifedayo Olusegun bagi memastikan pasukan bimbingan P.Maniam itu berpeluang untuk mengesahkan tiket ke final Piala Cabaran.
Perlawanan di laman Sang Kenari itu menyaksikan aksi seimbang dihidang kedua-dua pasukan dengan masing-masing kelab juga melakukan serangan untuk cuba mendapatkan gol pertama.
Melihat Ifedayo yang tidak efisien dalam memburu jaringan bertemu bekas pasukannya itu membuatkan penyokong mempersenda penyerang berusia 34 tahun itu.
Selain itu, ada juga penyokong Kedah yang gembira melihat pihak pengurusan dan kejurulatihan Sang Kenari memberi kepercayaan kepada Milos Gordic untuk menyarung lilitan kapten pada perlawanan itu.
“Ifedayo sesat dalam game ini atau Ifwat dan pertahanan Kedah terlalu bagus malam ini,” kata penyokong KDA FC, Salim Nor.
“Bagus Milos, sentiasa setia dengan Kedah,” komen peminat Hijau Kuning, Rijal A Shukor.
Bersambung babak kedua, iaitu Amirul Hisyam Awang Kechik berhasil meletakkan Sang Kenari di hadapan selepas pemain tengah berkenaan menerima hantaran dari Danial Tarmizi pada minit ke-58 permainan.
Shahrel dan Ifedayo yang masing-masing hampir membolosi gawang Kedah menerusi tandukan kemas mereka berhasil dinafikan oleh refleks pantas Ifwat untuk menumbuk keluar percubaan dua penyerang The Cops itu.
Babak drama masa kecederaan berlaku apabila ketika Kedah hampir pasti ke final, Shafizi Iqmal muncul wira PDRM dengan gol penyamaan selepas manfaatkan keadaan huru-hara di hadapan pintu gol Sang Kenari di minit akhir.
30 minit permainan dipanjangkan, masih tiada gol tambahan dihasilkan dan hanya momen Bryan mengalami kecederaan berlaku selepas berlakunya pertembungan dengan pemain gantian Kedah, Aiman Danial.
Di aksi penentuan sepakan penalti itu, gol saat akhir sekali lagi memusnahkan Kedah apabila bek kanan Kedah, Wan Amirul Afiq gagal menyempurnakan sepakan penalti. Sekali gus, mengesahkan kemenangan milik Sang Kenari.
Menjengan ruangan komen, penyokong Kedah yang sukar menerima kekalahan itu menyalahkan pengadil perlawanan, Kamal Ikhwan Yaacob apabila dilihat tidak telus dalam membuat keputusan.
Bukan itu sahaja, tindakan pengadil memberi masa tambahan hingga tujuh minit juga membuatkan penyokong Sang Kenari mengganggap ia disengajakan untuk merupakan peluang kepada PDRM FC.
Selepas ini, pemenang aksi Selangor menentang Penang FC yang dijadualkan akan bertemu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Ahad akan bertemu PDRM di perlawanan akhir Piala Cabaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram