Suspek ugut bunuh Harith Iskander, keluarga ditahan


  • 112
  • Ahad, 26 Jan 2025

Harith Iskander dan keluarganya menerima ugutan bunuh gara-gara kontroversi 'ham' baru-baru ini.

LELAKI berusia 31 tahun ditahan oleh pihak polis selepas dipercayai membuat ancaman bunuh terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander dan keluarganya baru-baru ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Razarudin berkata, penahanan itu dilakukan susulan pengurus pelawak terbabit yang juga bekas isterinya, Dr Jezamine Lim membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 7.31 malam Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dalam kejadian pertama, mangsa dihubungi suspek pada pukul 11.21 pagi Selasa lepas ketika berada di hadapan premis restoran Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India, Kuala Lumpur.

"Lelaki itu mengugut dengan nada kasar dan ingin membunuh pelawak terbabit susulan beliau ada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ham.

"Dalam kejadian kedua iaitu pukul 3 petang Jumaat, semasa pengurusnya berada di sebuah restoran nasi lemak di Jalan Bunus 6, beliau menerima mesej gambar pegun anaknya mengandungi mesej berbaur ugutan," katanya pada Sabtu.

Razarudin berkata, suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK).

"Polis turut merampas telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Untuk rekod, Seksyen 506 KK menyentuh kesalahan menakutkan secara jenayah, manakala 509 KK pula mengenai perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan tentang Harith yang terpaksa membatalkan program 'Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) susulan beliau dan ahli keluarga menerima ancaman bunuh.

Ancaman itu dipercayai selepas pelawak terbabit memuat naik hantaran di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ham, yang kemudian mengundang kecaman netizen kerana didakwa membuka ruang mempersendakan agama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram