'Taktik itu menjadi', MB Negeri Sembilan puji strategi MBS cabut pintu penyewa PPRT degil bayar sewa


  • Primer
  • Rabu, 05 Mac 2025

Usaha MBS mencabut pintu rumah penyewa degil membuahkan hasil apabila tunggakan berjaya diselesaikan.

PIHAK Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mempunyai kuasa mencabut pintu rumah sekiranya terdapat penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tidak membayar sewa untuk bertahun lamanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun tindakan itu dianggap drastik bagi sesetengah pihak, tetapi MBS tiada pilihan lain kerana penyewa yang bermasalah sering mengabaikan notis dikeluarkan mereka.

Kata Aminuddin, tindakan drastik MBS itu membawa hasil kerana penyewa kemudiannya tampil menyelesaikan tunggakan mereka.

BACA LAGI: Tingkat kerjasama strategik, perkukuh pemantauan bendung ancaman perjudian online

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Apa yang menarik, taktik tersebut menjadi. Kami ada penghutang tegar yang datang pada hari seterusnya (selepas pintu dicabut) dan terus membayar. Ada juga yang bayar sepenuhnya sebanyak RM14,000," katanya.

Minggu lalu, MBS sudah mencabut pintu rumah di PPRT Lobak dengan jumlah tunggakan adalah RM17,000 dan RM34,000 selepas penyewa gagal membayarnya untuk bertahun-tahun.

Pada Disember lalu, MBS mencabut beberapa pintu di PPRT Paroi dengan tunggakan sewa melebihi RM15,000 setiap satu. Sebagai rekod, sewaan bulanan yang dikenakan oleh MBS adalah RM150 sebulan.

Aminuddin berkata, tunggakan yang menimbun itu berlaku selepas penyewa asal menyewakan unit mereka kepada pihak lain tetapi tidak membayarnya kepada MBS.

Malah, keengganan mereka tidak dapat dibendung walaupun MBS membenarkan pembayaran secara ansuran. Dalam masa yang sama, penyewa-penyewa itu memang tidak mahu bayar kerana menganggap PPRT itu adalah harta kerajaan.

"Mereka memperoleh hampir sekali ganda daripada sewa yang dikenakan kepada penyewa baharu, tapi masih tidak membayar kepada MBS.

"Kita perlu faham yang MBS perlu mengambil tindakan drastik kerana bukan saja sewanya murah, tetapi ia diperlukan untuk penyelenggaraan, mencantikkan bangunan dan perkhidmatan sisa pepejal.

"Mereka boleh perkhidmatan lain seperti stesen televisyen berbayar, tapi bila melibatkan sewa, mereka tak mahu bayar," ujar Aminuddin.

Sebagai perbandingan, purata kadar sewa di Seremban adalah sekitar RM500 hingga RM600. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram