
GURU kepada Zayn Rayyan Abdul Matin pada Jumaat memberitahu Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Selangor yang dia mendengari ibu kanak-kanak tersebut, Ismanira Abdul Manaf menjerit, "ini salah Mummy."
Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan kes itu memberitahu perkara itu terjadi semasa dia dan pihak sekolah melakukan lawatan ke kediaman keluarga itu di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023 sehari selepas Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Semasa lawatan itu, Siti Aminah hadir bersama guru besar dan dua guru penolong kanan untuk memberikan semangat kepada Ismanira.
BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring
BACA LAGI: Pandangan ibu Zayn Rayyan seperti kosong, tiada perasaan ketika disoal di mahkamah
"Sewaktu saya di rumah itu, ada bersama Puan Isma (Ismanira) adalah nenek Zayn. Ketika itu, nenek Zayn cuba menenangkan Isma kerana Isma kelihatan seperti trauma.
"Waktu itu Isma tak mahu makan, tak mahu minum dan tiba-tiba saya dengar Isma macam menjerit dan cakap 'Zayn, ini salah Mummy'," kata Siti Aminah kepada mahkamah.
"Saya dan guru besar terkejut tetapi saya anggap mungkin kerana dia terlalu sedih," kata Siti Aminah.
Zayn Rayyan kali terakhir dilihat oleh Siti Aminah pada 5 Disember 2023.
Dalam masa yang sama, Siti Aminah berkata yang kali terakhir dia melihat Zayn Rayyan adalah pada 12.05 tengah hari, 5 Disember 2023 di pagar sekolah.
Kata Siti Aminah, Ismanira agak lewat ketika itu untuk mengambilnya berbanding selalu.
"Saya pimpin tangan dia (Zayn Rayyan) menuju pagar sekolah untuk dihantar kepada ibunya tetapi hari itu ibunya datang agak lewat dari biasa dalam jam 12.05 tengah hari.
"Ibunya datang menaiki motosikal. Saya dan pembantu ada ketika ibu Zayn tiba dengan menunggang motosikal.
"Saya ada menegur Zayn kerana itu kali pertama saya nampak dia naik sendiri atas motosikal tanpa bantuan sesiapa.
"Selepas itu, saya lihat Zayn bersama ibunya berlalu pergi, saya masih ingat pembantu menegur dan bertanya kepada ibunya 'Puan beli helmet di mana' sebab topi keledar Zayn kelihatan menarik," jelas Siti Aminah kepada Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz. — The Star/R. SEKARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram