Tiada tol percuma musim perayaan kali ini, Kabinet bincang pendekatan bersasar — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Rabu, 22 Jan 2025

Keputusan untuk menamatkan perjalanan bebas tol semasa musim perayaan adalah sejajar dengan dasar Kerajaan Perpaduan.

KEPUTUSAN mengenai penamatan pengecualian tol semasa musim perayaan masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan oleh Kabinet pada Jumaat ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini adalah berdasarkan keputusan dasar terdahulu.

"Kita perlu menghormati konsesi lebuh raya yang telah ditandatangani.

"Walau bagaimanapun, pada masa sama kita sedang mengkaji konsesi-konsesi ini untuk melihat apa yang boleh dilakukan bagi membantu rakyat dengan kos sara hidup," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tol percuma semasa perayaan termasuk Aidilfitri mungkin tak dilaksana tahun ini — Nanta

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

fahmi

Fahmi berkata, pengumuman yang dibuat Nanta Linggi sebelum ini adalah berdasarkan keputusan dasar terdahulu.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menjadi panel dalam forum "Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara" di Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE'25) pada Rabu.

Fahmi diminta mengulas kenyataan Nanta Linggi pada Selasa yang menyatakan bahawa tiada lagi perjalanan bebas tol semasa musim perayaan tahun ini.

Pengumuman itu berdasarkan keputusan Kabinet pada 2024, yang menetapkan bahawa tahun lalu adalah kali terakhir kerajaan menyediakan subsidi perjalanan bebas tol sempena perayaan besar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Kabinet akan membincangkan isu itu sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali dari lawatan ke luar negara.

"Pengumuman Menteri Kerja Raya adalah berdasarkan keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.

"Namun, kerajaan terbuka kepada pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan dan akan membawa perkara ini ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Nanta Linggi dalam kenyataannya menjelaskan bahawa keputusan untuk menamatkan perjalanan bebas tol semasa musim perayaan adalah sejajar dengan dasar Kerajaan Perpaduan.

Dasar itu bertujuan menamatkan subsidi menyeluruh dan menggantikannya dengan subsidi yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan golongan rentan.

"Kabinet pada 2024 telah memutuskan bahawa untuk perjalanan bebas tol semasa musim perayaan, tahun 2024 akan menjadi tahun terakhir," jelas beliau. — The Star/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram