Ammar Nazhan: Jangan sampai menipu, serah kes kepada pihak berkuasa untuk siasat — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Aras (dua dari kiri) dan Ammar (tengah) meminta maaf selepas membuat kandungan palsu di Indonesia.

KEMENTERIAN Komunikasi menyerahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan ke atas dua pempengaruh Malaysia, Aras Abdullah dan Ammar Mohd Nzahan, yang terbabit dalam pembikinan kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia.

Menterinya, Fahmi Fadzil memetik laporan BuletinTV3 berkata, kejadian yang dilaporkan itu berlaku di luar negara, justeru ia memerlukan rujukan lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia dan Wisma Putra.

"Sekiranya ia membabitkan badan penguatkuasaan (di negara ini), maka kita serahkan kepada badan itu untuk melakukan siasatan (ke atas pempengaruh berkenaan),” katanya pada Sabtu.

PUTRAJAYA, 7 Feb -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

BACA LAGI : [VIDEO] Masuk hutan 'waktu terlarang', pempengaruh wanita Malaysia hilang lepas buat aktiviti paranormal di Bandung

BACA LAGI : [VIDEO] Tiada kebenaran, polis Indonesia sahkan pempengaruh Malaysia hilang buat aktiviti paranormal hanya lakonan

Fahmi turut menasihatkan pempengaruh berkenaan supaya lebih berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam menghasilkan bahan kandungan masing-masing.

"Dari segi pempengaruh yang menghasilkan konten (kandungan) untuk penonton mereka ini, nasihat saya berpada-pada, jangan keterlaluan, biarlah (insiden) ini kita ambil pengajaran dengan apa yang berlaku.

"Mungkin cara kita hasilkan konten, dia tidak seperti apa diceritakan dalam konten itu. Netizen sangat pantas melakukan siasatan mereka sendiri. Saya dapati ada beberapa pempengaruh lain juga sudah mendapatkan pengesahan tertentu (membuktikan kandungan dihasilkan palsu)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang peguam, Haziq Aizuddin Subhi berkata, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dua pempengaruh berkenaan boleh didakwa kerana melakukan sebaran tidak wajar.

Mengikut kesalahan di bawah Seksyen 233, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Malah, sekiranya didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari (kesalahan selepas sabitan) atau sebahagian daripadanya sehari.

Untuk makluman, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Bandung ditemukan selamat selepas tiga hari hilang.

Penemuan itu dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.

Namun pada Khamis, polis Indonesia mengesahka dua pempengaruh berkenaan hanya berlakon berhubung kehilangan rakan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram