
BEBERAPA platform dalam talian telah menghentikan penjualan gula-gula kenyal bersaiz bola ping-pong susulan arahan daripada Kementerian Kesihatan.
Sebelum ini, gula-gula kenyal itu dijual serendah 80 sen sebiji atau RM12.50 bagi satu balang yang mengandungi 30 biji.
Tinjauan mendapati produk tersebut tidak lagi disenaraikan untuk jualan di platform e-dagang.
Langkah itu diambil selepas insiden tragis yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, yang maut akibat tercekik gula-gula tersebut.
Mangsa dipercayai membeli gula-gula itu di luar kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.
Sebuah syarikat e-dagang menyatakan bahawa mereka menyedari arahan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan produk itu dan telah menurunkan iklan serta senarai jualan berkaitan.
"Kami komited dalam memastikan amalan perniagaan yang beretika serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi keselamatan pelanggan.
"Senarai produk yang dikenal pasti sebagai tidak mematuhi peraturan sudah kami keluarkan," menurut kenyataan syarikat tersebut.
BACA LAGI : Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia
Mohamad Fakhruddin (baju biru) bersama anak perempuannya, Nufa Fakhira ketika pengebumian Mohamad Fahmi pada Jumaat lepas. — The Star
Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa dua platform e-dagang diarahkan untuk menurunkan iklan promosi gula-gula tersebut.
Di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi, memaklumkan bahawa hasil pemantauan terhadap gerai-gerai berhampiran sekolah menunjukkan peniaga mematuhi arahan pihak berkuasa untuk menghentikan penjualan gula-gula yang berisiko menyebabkan sesak nafas.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bertindak menyita produk yang dikenali sebagai 'Gummy Original Basketball Soft Candy' itu daripada gerai-gerai penjaja berhampiran sekolah selepas kejadian itu berlaku.
Beliau turut berkata, pihak perubatan memberi nasihat kepada para peniaga agar lebih peka terhadap potensi bahaya produk yang dijual, sambil menegaskan bahawa pemantauan berterusan akan dilakukan.
Siasatan yang dibuat Kementerian Kesihatan mendapati gula-gula tersebut melanggar peraturan pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dalam Akta Makanan 1983 [Akta 281].
Peraturan tersebut menetapkan bahawa mana-mana produk makanan yang berdiameter 45mm atau kurang mesti memaparkan label amaran risiko tercekik serta sekatan umur.
Tindakan penyitaan telah dilaksanakan di dua negeri, bermula di Pulau Pinang, lokasi kejadian, dan yang terbaru di Terengganu.
Pada Isnin, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu telah merampas gula-gula bernilai kira-kira RM1,300.
Pihak berkuasa kesihatan menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan bagi memastikan produk berbahaya itu tidak lagi berada di pasaran demi keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak. — The Star/TRACY GUNAPALAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram