
SEBUAH rumah dilaporkan terbakar mengakibatkan dua individu maut dalam insiden berlaku di Kampung Limbanak, Penampang, Sabah pada awal pagi Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu mengakibatkan seorang mangsa dilaporkan terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi rentung selepas dipercayai terperangkap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 3.26 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Trump maki Zelensky depan media, Ukraine bakal hilang sokongan AS perangi Rusia
Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Penampang dan BBP Putatan terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 185 meter persegi yang terbakar 100 peratus.
"Terdapat dua mangsa meninggal dunia yang disahkan oleh petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, seorang dipercayai terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi mangsa ditemukan rentung di dalam rumah.
"Api berjaya dikawal pada pukul 4.31 pagi dan setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan," ujarnya.
Walau bagaimanapun, punca kebakaran serta jumlah kerugian belum dapat dipastikan setakat ini dengan ia masih dalam siasatan unit forensik bomba. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram