Ambil risiko ceburi bisnes tak popular, Megat Amirul tinggal bidang cari gali minyak, gaji puluh ribu demi anak


  • Berita
  • Selasa, 25 Feb 2025

Dari kiri: Muhammad Hafidz, Muhammad Hanid dan Megat Amirul merupakan pengasas bersama Cleaning Tree.

KETIKA Megat Amirul Ashraff Megat Azhar membuat keputusan berhenti kerja dan sepenuhnya menceburi bidang perniagaan pada 2021, beliau menerima respons kurang positif daripada keluarganya.

Ia berikutan langkah tersebut menyaksikan anak ketiga daripada lima orang adik beradik itu meninggalkan pekerjaannya dengan pendapatan selesa sebagai jurutera pemeriksaan.

Tidak cukup dengan itu, bidang perniagaan yang mahu diceburinya itu iaitu perkhidmatan pembersihan juga disifatkan sebagai bisnes yang tidak 'seksi' dan kurang popular serta masih tidak menjanjikan sebarang potensi pulangan.

Ketika itu, Megat Amirul yang merupakan pengasas bersama syarikat pembersihan profesional, Cleaning Tree sudah berkhidmat dalam bidang cari gali minyak selama lebih lima tahun.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Keluarga waktu itu memang risau untuk saya beralih daripada industri yang menjanjikan pulangan lumayan dan pergi ke industri yang baharu dan masih tidak memberikan apa-apa jaminan.

"Jadi tentunya saya dapat sedikit tentangan daripada keluarga, namun saya ambil itu sebagai cabaran," katanya kepada Majoriti.

Namun, selain daripada keyakinannya terhadap potensi perniagaan tersebut, dorongan kuat lain untuk melakukan perniagaan tersebut kerana ingin lebih dekat dengan permata hatinya.

"Antara punca saya buat perniagaan ini untuk sentiasa berada di rumah bersama isteri dan anak.

"Apabila kerja offshore, jarang ada di rumah kerana lazimnya akan pergi bekerja dalam sebulan setengah.

"Selepas itu balik ke darat seminggu, kemudian pergi lagi sebulan setengah," kongsinya yang turut menyifatkan perniagaan bukan sesuatu asing dalam keluarganya.

Menurut Megat Amirul, 33, hampir kebanyakan ahli keluarga terdekatnya termasuk ayah, kakak dan isterinya sendiri merupakan pengusaha perniagaan.

Disebabkan itu, beliau bersama dua rakannya yang juga adik-beradik, Muhammad Hanid Zonkifle, 31, dan Muhammad Hafidz, 33, mengasaskan Cleaning Tree pada 2021 yang menyediakan perkhidmatan pembersihan menyeluruh profesional atau deep cleaning kediaman di sekitar Lembah Klang.

Muhammad Hanid dan Muhammad Hafidz masing-masing datang daripada latar belakang sebagai pegawai keselamatan pembinaan dan penyelam komersial.

Selain perkhidmatan mencuci rumah, mereka turut menyediakan perkhidmatan membersihkan sofa, tilam, karpet dan tempat duduk kereta.

Belajar menerusi YouTube

Menurut Megat Amirul, pada awalnya, beliau menjalankan perkhidmatan mencuci rumah secara sambilan sekitar 2020 bagi mengisi masa lapang ketika sedang bercuti daripada pekerjaannya.

Ketika itu, beliau yang berasal dari Ampang, Selangor menjalankan kegiatan tersebut dengan menggunakan kereta Proton Saga miliknya sambil dibantu oleh keluarga terdekat.

Menurut Megat Amirul, idea untuk memulakan bisnes tersebut tercetus selepas melihat kandungan di media sosial yang berkongsikan mengenai syarikat menawarkan perkhidmatan serupa di United Kingdom (UK) dan Australia.

6168211351256809701

Megat Amirul mengakui antara cabaran perlu ditangani adalah memenuhi kepelbagaian keperluan setiap pelanggan.

"Jadi, saya tengok benda ini menarik dan walaupun sudah ada orang buat, tapi tak terlalu banyak dan ketika itu masih awal lagi.

"Lagipun menerusi perkhidmatan ini kami membantu pelanggan membersihkan sofa, tilam dan kelengkapan rumah," katanya yang belajar sepenuhnya sendiri kemahiran pembersihan berkenaan.

"Kami banyak rujuk artikel dan blog dari luar negara dan termasuk YouTube.

"Kemudian dengan latar belakang saya dalam bidang kejuruteraan juga mudahkan untuk memahami mengenai proses yang perlu dijalankan," ujarnya.

Peringkat awal operasi Cleaning Tree, Megat Amirul berkata, beliau bergerak bersama dua rakan kongsinya itu dengan melakukan pembersihan sebanyak dua buah rumah sehari pada kadar bayaran antara RM200 hingga RM400.

"Kemudian kami berkembang secara organik. Daripada satu pasukan, kini kami mempunyai enam pasukan dengan setiap daripadanya terdiri daripada dua orang.

"Jadi sekarang sehari kami mampu cuci sekitar 16 buah rumah," ujarnya yang turut memaklumkan operasi Cleaning Tree kini dibantu 18 tenaga kerja terdiri daripada 12 pekerja di lapangan dan enam di bahagian pentadbiran.

Menurut Megat Amirul, sejak 2023, syarikatnya berjaya merekodkan pendapatan mencecah enam angka setiap bulan.

Penyediaan SOP

Sementara itu, sama seperti perniagaan perkhidmatan lain, beliau mengakui bahawa antara cabaran utama perlu ditangani adalah bagi memenuhi kepelbagaian keperluan setiap pelanggan yang mendapatkan khidmatnya.

"Ini disebabkan setiap pelanggan mempunyai pendapat atau penerimaan berbeza.

"Bagaimanapun, Cleaning Tree berjaya untuk tangani masalah itu dengan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh," jelasnya.

Megat Amirul berkata, selain menyediakan latihan bulanan kepada setiap pekerja untuk meningkatkan kemahiran , Cleaning Tree turut sentiasa mengemas kini teknologi terbaharu digunakan dalam perkhidmatan pembersihan dilakukan.

Ia meliputi penggunaan mesin dan alatan kelengkapan pembersihan terbaik di dalam industri.

Sementara itu, Megat Amirul turut berkongsikan keyakinan terhadap masa depan industri pembersihan di sebalik perkembangan terkini yang berlaku dalam bidang teknologi termasuk daripada segi automasi dan kecerdasan buatan (AI).

"Saya rasa industri ini tidak ada masalah untuk kekal mapan sebab setakat ini AI pun masih tidak dapat gantikan perkhidmatan yang kami sediakan sebab kerja pembersihan ini masih memerlukan tenaga kerja manusia.

"Jadi, saya percaya perniagaan ini bukan boleh terus hidup malah dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain," ujarnya yang turut memaklumkan Cleaning Tree merancang mengembangkan operasinya di Johor Bahru, Johor pada tahun ini.

"Kemudian kami akan cuba untuk kembangkan lagi operasi supaya Cleaning Tree ada di seluruh bandar utama di Malaysia dan dapat buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram