
PENGARAH Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan suspek cabul budak perempuan di sebuah masjid dekat Batang Kali, Selangor merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Katanya, remaja berusia 19 tahun itu memiliki kad OKU masalah pembelajaran sejak kecil.
"Hasil pemeriksaan kita mendapati suspek mempunyai kad OKU 'Learning Disability' (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi," lapor The Star.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menemukan kad OKU tersebut namun masih mendapatkan pengesahan daripada JKM berkaitan dakwaan terbabit.
Suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sebelum ini, tular di laman media sosial memaparkan seorang suspek cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang budak perempuan dalam kejadian di sebuah masjid di Batang Kali, kira-kira pukul 6.40 pagi Jumaat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram