
POLIS mengesahkan kes seorang kanak-kanak autisme yang mengalami kecederaan ketika berada di sebuah taska di Seksyen 7 dekat Shah Alam, Selangor diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) kerana tiada bukti kukuh untuk meneruskan siasatan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kes itu mula tular selepas gambar mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, tersebar di media sosial dengan kesan lebam di badan.
Dalam laporan polis yang dibuat pada 16 Januari 2025 pukul 11.18 pagi, ibu mangsa yang berusia 34 tahun memaklumkan bahawa kecederaan anaknya disedari oleh suaminya ketika mahu memandikannya pada malam 15 Januari.
BACA LAGI : [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham
BACA LAGI : [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan di Mexico
"Pengadu melihat ada kesan kemerahan besar di belakang badan dan bawah mata kanan mangsa. Pengadu juga perasan Ayden kurang berinteraksi dan kelihatan tidak aktif sejak pengadu mengambilnya dari taska hari tersebut.
"Mangsa yang mempunyai Mild Autism dan sukar berkomunikasi telah dihantar ke taska tersebut sejak tahun 2022, dan ini merupakan kali pertama kejadian seperti ini berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, taska terbabit merupakan sebuah rumah teres setingkat yang beroperasi sejak 2021 dengan lesen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang sah sehingga 14 Mac 2025.
"Bagaimanapun, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan sebarang kejadian di mana mangsa dicederakan.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, yang kemudiannya memutuskan kes ini sebagai NFA kerana tiada keterangan yang mencukupi untuk meneruskannya," jelas beliau.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Vemal Subramaniam di talian 011-39216101.
Terdahulu, seorang lelaki yang juga merupakan ayah mangsa, Nazmi Zulkifli menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan pihak berkuasa yang menutup kes tersebut tanpa sebarang tindakan lanjut.
"Kami baru dapat berita dari pihak polis bahawa kes dianggap sebagai NFA kerana tiada bukti CCTV dan keterangan tidak mencukupi.
"Sedangkan ada laporan perubatan dari hospital yang menyatakan Ayden Nazmi didera serta laporan dari pusat terapi Ayden yang mengesahkan perubahan tingkah lakunya selepas kejadian itu," luahnya di media sosial pada Jumaat.
Nazmi turut mempersoalkan sejauh mana keadilan dapat ditegakkan jika hanya kerana ketiadaan bukti CCTV, pihak yang bertanggungjawab boleh terlepas begitu sahaja.
"Selamatkah anak-anak kita dihantar ke taska jika hanya dengan alasan tiada rakaman CCTV, kes ini boleh dilepaskan?" tambahnya.
Kes ini telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen dan ibu bapa yang menuntut agar sistem pemantauan di pusat asuhan kanak-kanak diperketatkan serta keperluan mewajibkan CCTV yang berfungsi sepanjang masa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram