
TULAR di media sosial dakwaan seorang lelaki cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang budak perempuan dalam kejadian di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor, sekitar pukul 6.40 pagi Jumaat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.
Secara tiba-tiba, seorang lelaki berbaju kuning memasuki ruang solat wanita dan dilihat mendukung sebelum melarikan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang solat di bahagian belakang saf.
Dalam rakaman tersebut, turut dilihat, lelaki berkenaan kemudian membawa kanak-kanak itu ke ruang yang lain dan didakwa cuba melakukan perkara terkutuk ke atas mangsa.
Tindakan tidak bermoral tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup yang dipasang di beberapa sudut di dalam masjid berkenaan.
“Kejadian waktu solat subuh di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali. Cubaan merogol ke atas kanak-kanak perempuan di dalam kawasan masjid.
“Tolong sebarkan seluasnya supaya pelaku cepat ditangkap,” dakwa seorang pengguna, Qeena Rahman di media sosialnya.
Qeena Rahman juga berharap agar kes sedemikian tidak berulang kembali atau terjadi kepada individu lain.
"Pesan dekat anak-anak kita jerit sekuatnya bila orang tak dikenali cuba datang dekat atau cuba peluk anak kita," katanya.
Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau sudah memanjangkan hal itu kepada Ketua Polis Negeri Selangor bagi tujuan siasatan.
"Siasatan akan dilakukan dengan mengambil bukti daripada rakaman CCTV serta gambar-gambar yang dibekalkan dan sekiranya benar, tindakan segera terhadap pelaku akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
"Tindakan untuk menghasilkan persepsi bahawa masjid-masjid adalah tempat yang tidak selamat dan terdedah kepada perbuatan jenayah kepada masyarakat adalah suatu tindakan yang biadap dan tidak boleh diterima oleh umat Islam Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat,
Fahmi juga menyeru para pengunjung masjid agar sentiasa berwaspada dan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya melihat wujud kegiatan tidak bermoral sebegitu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram