
SEKOLAH Menengah Kebangsaan Kota Masai (SKOMAS) dipilih sebagai sekolah rintis bagi model dua sesi dalam kelas pendidikan khas, bertujuan memberi gambaran jelas bahawa pengoperasian ini dapat berjalan dengan baik dan teratur.
Pemilihan SKOMAS yang terletak di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, Johor itu sebagai sekolah rintis merupakan langkah penting dalam usaha meningkatkan keberkesanan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Model tersebut membolehkan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mendapat ruang pembelajaran yang lebih kondusif dan teratur.
BACA LAGI : [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham
Dalam rangka pelaksanaan ini, SKOMAS menerima kunjungan 31 delegasi pegawai dan pendidik dari Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu lawatan kerja di Dewan Sari Bestari pada Rabu.
Pengetua SMK Kota Masai, Saridah Abdul Majid (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Puan Nuridayu Rosni, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPN Selangor
Ketibaan delegasi disambut oleh Pengetua SMK Kota Masai, Saridah Abdul Majid, bersama barisan pendidik SKOMAS serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPN Johor, Tuan Haji Yahaya Ali.
Menurut Yahaya, lawatan kerja itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pelaksanaan pengoperasian dua sesi bagi PPKI.
"JPN Johor sentiasa memastikan kerjasama yang dijalin akan membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan khas.
"Pemilihan SKOMAS sebagai sekolah rintis untuk model dua sesi dalam kelas pendidikan khas bertujuan memberikan gambaran jelas bahawa pengoperasian ini dapat berjalan dengan baik dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Delegasi JPN Selangor turut dibawa melawat kelas pendidikan khas, persekitaran sekolah, serta ruang kemahiran dan infrastruktur yang digunakan oleh murid pendidikan khas sesi petang di SKOMAS.
Selain itu, sesi perkongsian dan perbincangan mengenai pengoperasian dua sesi PPKI turut diadakan dan disampaikan oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali.
"Pelaksanaan dua sesi ini merupakan langkah intervensi bagi mengatasi kepadatan kelas, sekali gus memberi ruang kepada guru untuk lebih fokus dalam memastikan keselesaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
"Dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan MBPK mendapat ruang pembelajaran yang baik dan selesa," katanya.
Sementara itu, delegasi Sektor Pendidikan Khas JPN Selangor akan berada di Johor selama tiga hari dan turut dijadualkan melawat dua lagi sekolah yang mengamalkan model dua sesi, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cahaya Masai dan SK Kota Masai 2, Pasir Gudang.
Setakat ini, SKOMAS mempunyai 15 kelas yang menempatkan seramai 137 MBPK, menjadikannya antara sekolah perintis dalam pendidikan khas dengan menyediakan akses pendidikan yang lebih baik, relevan, dan sesuai dengan keperluan murid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram