Wabak kusta di Negeri Sembilan ragut nyawa remaja Orang Asli, 2 kampung dikuarantin serta merta


  • Primer
  • Rabu, 19 Feb 2025

Remaja perempuan Orang Asli meninggal dunia akibat wabak kusta, Isnin lalu, manakala sembilan lagi penduduk masih dalam rawatan. — Gambar Hiasan

DUA perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah iaitu Kampung Chergun dan Guntur di Negeri Sembilan dikuarantin serta merta selepas terdapat satu kes kematian akibat penyakit kusta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kes kematian membabitkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di Kampung Chergun yang sudah mengalami demam selama seminggu.

"Saya terkejut apabila diberitahu oleh Exco kanan negeri (Datuk Seri Jalaluddin Alias) mengenai sembilan kes di Kampung Chergun dan Kampung Guntur.

BACA LAGI : [VIDEO] Tindakan pantas pelancong wanita Malaysia selamatkan pemuda lemas depan mata kawan-kawan di Sri Lanka

BACA LAGI : [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan 

"Malangnya, seorang gadis berusia 18 tahun dari Kg Chergun meninggal dunia dua hari lalu di rumahnya selepas mengalami demam selama kira-kira seminggu," katanya pada Rabu. 

Sementara itu, Jalaluddin berkata, sembilan individu tersebut berasal daripada lima keluarga berasingan.

Lima keluarga dari Kampung Chergun dan empat lagi dari Kampung Guntur," katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa kesihatan juga sedang menyiasat bagaimana penyakit itu merebak di kedua-dua kampung berkenaan.

Tambah Jalaluddin lagi, pihak berkuasa kesihatan sudah menjalankan saringan ke atas 65 peratus penduduk kampung bulan lalu dan satu lagi saringan dilakukan pada 15 Februari.

"Jeram Tengkek Ecopark terpaksa ditutup bagi mengelakkan orang luar memasuki kawasan tersebut.

"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan membenarkan orang luar datang ke ecopark dan kemudian membawa apa-apa jangkitan ke tempat mereka.

"Jadi buat masa ini, ia akan kekal ditutup," katanya sambil menambah bahawa satu lagi saringan akan dijalankan di Kampung Guntur pada 22 Februari.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan akan membantu masyarakat Orang Asli dari kedua-dua kampung sepanjang tempoh kuarantin mereka.

"Adalah penting untuk kita mengawal keadaan terlebih dahulu.

"Jadi kami akan menghantar apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli sepanjang tempoh ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata,kakitangan wanita kerajaan negeri akan dibenarkan pulang pada pukul 2 petang pada hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan.

"Mereka perlu melapor diri bekerja pukul 7.30 pagi dan akan bekerja sehingga pukul 2 petang tanpa mengambil rehat makan tengah hari," tambahnya. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram