KISAH pesakit kusta menerusi buku The Way Home yang ditulis Tan Ean Nee dan Joshua Wong menjadi pemangkin semangat Gurjit, 18, untuk menghapuskan stigma tentang penyakit tersebut dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Buku tersebut menarik perhatiannya di kala Gurjit sedang asyik mencari bahan untuk pertandingan Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) peringkat negeri.
Buku tersebut memaparkan gambar hitam dan putih seorang wanita di muka depannya.
Buku 'The Way Home' yang mengisahkan tentang kehidupan pesakit kusta.
Tanpa berfikir panjang, Gurjit terus meminjam buku itu dari perpustakaan tanpa menyedari bahawa ia akan membawanya dalam sebuah perjalanan yang penuh emosi.
Katanya, buku tersebut mengisahkan pengalaman sebenar pesakit kusta atau juga dikenali sebagai leprosi atau Hansen.
Ia merupakan penyakit berjangkit kronik melibatkan kulit dan saraf yang ketara disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae.
Penyakit itu juga melibatkan kerosakan kulit, saraf-saraf periferi, sistem pernafasan dan organ mata sekali gus menyebabkan potensi perubahan kosmetik pesakit yang menimbulkan stigma masyarakat.
Pesakit kusta bukan sahaja menderita secara fizikal, malah mereka seringkali dilayan dengan diskriminasi, dipinggirkan dan disisihkan masyarakat.
Kata Gurjit, buku tersebut membawanya menyelami kehidupan mereka dengan lebih mendalam.
"Apa yang paling menyentuh hati saya adalah kisah tentang perpisahan antara ibu bapa dan anak-anak akibat penyakit ini.
"Pada abad ke-20, khususnya pada tahun 1930-an, penyakit ini digelar sebagai 'penyakit pemisah' sehingga menyebabkan ibu bapa terpaksa berpisah dengan anak-anak mereka demi mengelakkan penularan jangkitan.
"Malah, dalam banyak kes, anak-anak pesakit ini terpaksa diasingkan jauh dari ibu bapa mereka untuk mengelakkan stigma yang membawa kesan lebih buruk iaitu, kebencian dan penolakan daripada masyarakat.
"Anak-anak ini kadangkala dibesarkan tanpa mengetahui atau merasai kasih sayang ibu bapa mereka," katanya.
Jelasnya lagi, buku tersebut juga menceritakan kisah-kisah berkaitan dengan keluarga pesakit kusta yang menyentuh hati.
Gurjit berkata, kesemua kisah itu menunjukkan betapa dalamnya cinta dan pengorbanan ibu bapa yang tidak meminta penghargaan, tetapi sekadar ingin melihat anak-anak mereka hidup dengan baik.
Penyakit kusta yang menyerang anggota badan pesakit. — Gambar hiasan/Agensi
Dia juga teruja berkongsi pengalamannya ketika menghadiri program Valley Got Talent Art Market yang mempamerkan karya dan seni dihasilkan oleh pesakit kusta.
"Saya berpeluang untuk berinteraksi dengan warga emas yang menceritakan kisah hidup mereka yang menderita penyakit tersebut.
"Saya turut dibawa melawat Leprosarium Sungai Buloh, Selangor yang secara rasmi dikenali sebagai Pusat Kawalan Kusta Kebangsaan (NLCC) oleh pak cik Phillip Yong yang juga seorang bekas pesakit leprosi dengan menaiki motosikal.
"Semasa melalui jalan-jalan sunyi di leprosarium, saya terasa seolah-olah saya menghidupkan kembali kisah-kisah yang saya baca dalam buku The Way Home.
"Rumah-rumah dipenuhi oleh ranting-ranting pokok dan dinding-dinding yang semakin runtuh membuatkan saya lebih memahami penderitaan dan ketabahan pesakit leprosi suatu ketika dahulu," ceritanya.
Gurjit pada masa sama terkejut apabila melihat pelbagai rumah ibadat seperti kuil Hindu, Buddha gereja dan masjid di dalam leprosarium tersebut.
Baginya, ia jelas membuktikan bahawa manusia dari pelbagai latar belakang mampu hidup secara harmoni di tempat yang penuh dengan cabaran itu.
"Melalui lawatan ini, saya mula memahami betapa besar impak salah faham dan prasangka yang telah wujud terhadap penyakit leprosi.
"Stigma yang timbul akibat kekurangan pengetahuan ini masih wujud sehingga kini secara tidak langsung menyukarkan pesakit leprosi untuk diterima oleh masyarakat," katanya,
Justeru, Gurjit menggesa masyarakat agar lebih memahami dan mempunyai sifat empati terhadap para pesakit kusta. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram