
MENERIMA surat amaran daripada jenama jalanan terkemuka dunia dan mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
Itu antara pahit getir dilalui Yusriizwan Kahar, 37, atau lebih dikenali sebagai Mamak untuk membangunkan jenama streetwear miliknya.
Yusriizwan yang merupakan anak jati Klang, Selangor adalah pengasas kepada PEAK.KL, antara jenama fesyen jalanan tempatan terkemuka di Malaysia.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Selain menghasilkan koleksi pakaian yang unik dan dicari oleh penggemarnya, PEAK.KL sudah bekerjasama dengan pelbagai jenama termasuk label antarabangsa.
Antaranya streetwear terkenal Jepun, Atmos dan pakaian sukan dari United Kingdom (UK), Umbro.
Permulaan daripada hobi
Koleksi pakaian PEAK.KL bersama Atmos. — PEAK.KL
Sebagai penggemar aktiviti papan selaju atau skateboarding, Yusriizwan sememangnya terdedah terhadap fesyen jalanan yang sinonim dengan penggiat sukan tersebut.
Disebabkan itu, beliau turut mempunyai dan mengumpul koleksi pakaian termasuk daripada jenama streetwear luar negara kegemaran iaitu Supreme yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
"Awalnya saya tidak mempunyai banyak duit. Jika nak membeli barang baharu, saya jual barang lama.
"Bermula daripada situ, saya nampak pakaian ini kalau dijual boleh beri pendapatan tinggi," kongsinya kepada Majoriti.
Pada waktu itu, beliau juga melakukan dua pekerjaan menerusi kerja tetap sebagai pembantu arkitek dan peniaga makanan char kuetiau pada waktu malam.
Menyedari peluang yang wujud pada 2016, beliau mula membawa masuk barangan pakaian streetwear dari luar negara untuk dijual semula di dalam negara.
Pada waktu itu, jumlah barangan yang dibawa masuk ke kedainya untuk dijual dianggarkan bernilai sekitar RM20,000 setiap minggu.
Di bawah nama Preme.KL, selain melakukan jualan semula, mereka turut menghasilkan beberapa rilisan pakaian yang kemudiannya berjaya membina khalayak pengikut tersendiri.
Terima surat amaran
Bagaimanapun, Yusriizwan kemudiannya berdepan detik getir bersama Preme.KL apabila menerima surat amaran berkenaan isu hak cipta daripada sebuah syarikat streetwear global berpangkalan di AS.
Surat tersebut antara lain meminta mereka menurunkan nama Preme.KL daripada kesemua produk yang ketika itu sedang dalam perancangan untuk dirilis.
"Masa itu saya memang rasa perniagaan saya dah berakhir," katanya yang memaklumkan mengalami anggaran kerugian mencecah RM70,000 akibat peristiwa tersebut.
Meskipun mengakui agak terkesan dengan isu berkenaan, kejadian itu kemudiannya menimbulkan idea untuk memberi tumpuan menjual jenama pakaiannya sendiri, sekali gus mencetus kelahiran PEAK.KL.
Jenama dicari untuk kolaboratif
Kolaboratif PEAK.KL bersama jenama Umbro yang berpangkalan di UK. — PEAK.KL
Dengan keunikan rekaan dan kualiti ditonjolkan, PEAK.KL kini menjadi antara jenama streetwear tempatan yang dicari oleh pelbagai pihak untuk melaksanakan kolaboratif produk.
Terbaharu, jenama tersebut turut bekerjasama dengan kelab bola sepak tempatan Kuala Lumpur (KL) City FC dan HUNDRED untuk menghasilkan koleksi kit pakaian sukan.
Mengulas mengenai populariti yang dikecapi jenamanya, Yusriizwan berkata, perkara itu berkemungkinan disumbangkan antara lain oleh hasil kejayaan kerjasama pernah dijalankan.
"Kalau di PEAK.KL, kami terapkan bahawa tidak suka kerjasama sekadar letak logo.
"Kami nak kolaboratif atau sesuatu rilis itu ada impak, hubungan dan kesinambungan bukan sekadar buat," ujarnya.
Dalam pada itu, selain idea, tempoh waktu yang diperuntukkan untuk sesebuah kerjasama turut menjadi antara cabaran utama dalam menjayakan sesuatu kerjasama.
"Sesetengah kolaboratif memang perlukan idea yang berat. Untuk tempoh masa pula, bergantung kepada jenis kerjasama. Lagi besar jenama itu biasanya lagi panjang tempoh masa.
"KL City FC misalnya, kami ambil masa hampir setahun lebih untuk keluarkan. Bagi Atmos pula, untuk rekaan sahaja ambil masa enam bulan kerana perlu hantar setiap cadangan rekaan ke Jepun bagi kelulusan.
"Begitu juga bersama Sneakerlah dengan Umbro dari UK. Kita ambil masa sembilan bulan selesaikan," katanya turut mempunyai hasrat berkolaboratif global yang dirilis di seluruh dunia.
Ditanya mengenai visi utama ingin dikecapi bersama PEAK.KL, Yusriizwan berkata, perjuangannya sejak awal menubuhkan perniagaan itu hampir 10 tahun lalu masih tidak berubah.
"Jenama ini saya buat lebih kepada untuk kawan-kawan. Kami dulu skater tiada duit, apabila ada jenama ini saya boleh ajak mereka (kawan-kawan) yang tiada kerja bersama bangunkan jenama ini.
"Kau skate kau ada gaji. Jadi, lebih kepada nak tolong kawan-kawan," katanya.
Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk mencipta produk fesyen lain yang berkemungkinan menjanjikan pasaran lebih luas, Yusriizwan berkata, PEAK.KL tidak akan lari daripada fesyen jalanan.
"Bagi saya apabila melibatkan korporat, kami akan hilang identiti dan kebebasan.
"Jadi, saya rasa benda ini saya lakukan dek minat dan akan kekal.
"Mungkin ini adalah legasi untuk anak saya," ujarnya yang juga bapa kepada dua cahaya mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram