Jalani pembedahan implan kepala pada Mac, fisioterapis asal Kedah rancang buka kafe, produk lemak cili api


  • Massa
  • Khamis, 20 Feb 2025

Muhammad Sufi Abdul Aziz bersyukur usai menerima bantuan sumbangan daripada Anwar Ibrahim.

"SYUKUR, terima kasih banyak PMX." Demikian luahan Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, usai menerima sumbangan RM15,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

Jelas bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan itu, bantuan tersebut ibarat sinar baharu dalam hidupnya selepas hampir berputus asa meneruskan hidup sebelum ini.

Bakal menjalani proses pembedahan implan tempurung kepala pada Mac depan, Sufi berharap segalanya berjalan lancar dan kembali sihat selepas rawatan kelak.

BACA LAGI: [VIDEO] Simpanan cuma ada RM200, fisioterapis gigih jual daging salai di Alor Setar demi implan tempurung kepala berharga RM15,000

BACA LAGI: 'Syukur nasib dapat perhatian PM Anwar', fisioterapis jual daging salai di Kedah demi implan tempurung kepala 'prepare' ucapan khas

"Insya-ALLAH bulan depan (Mac) saya akan jalani pembedahan implan kepala, urusan hospital semua disegerakan lepas dapat bantuan PMX.

"Syukur sangat sebab dana diberikan pun memang mencukupi tampung kos pembedahan saya, cuma harapnya dapat bekerja semula lepas sihat nanti.

"Terima kasih banyak semua pihak yang membantu, ramai sokong produk daging salai saya itu pun saya syukur sebab dapat tampung kos rawatan nanti," katanya kepada Majoriti.

 

 

Berkongsi lanjut perancangan perniagaan demi kelangsungan hidup kelak, Sufi mahu menghasilkan produk makanan baharu demi menampung keperluan anak dan keluarganya.

Malah, petugas fisioterapis itu turut merancang mahu meneruskan perniagaan kafe restoran yang sudah lama terhenti satu ketika dahulu.

"Lepas ni nak keluarkan produk baharu, daging lemak cili api pula, bisnes daging salai dapat banyak tempahan kebelakangan ini dan ada juga jual syrup coffee atas talian, harap semua orang terus sokong.

"Ada rezeki nak buka semula kafe restoran saya, sebelum ini pernah buka tapi tutup sebab tak laku, sihat nanti nak berniaga semula la.

"Anak saya la kekuatan dan semangat untuk saya terus hidup, nak cari rezeki bagi nafkah sebagai bapa semula lepas ini," tambahnya.

Terdahulu, Sufi mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan pada 2023 yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Keadaan itu bukan sahaja mengubah hidupnya secara drastik, malah turut menyebabkan perkahwinannya berakhir dengan perceraian.

Demi menampung kos rawatan dan membeli implan tempurung kepala bernilai RM15,000, Sufi turut menjalankan perniagaan sampingan dengan menjual daging salai secara dalam talian bagi menambah pendapatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram