
MASALAH pembangunan jalan raya di Jalan Meru-Bukit Cherakah, Puncak Alam, Selangor dilaporkan masih belum ada sebarang penyelesaian.
Ia sekali gus menjadi isu utama penduduk sekitar Puncak Alam, Alam Perdana dan Alam Jaya, Selangor itu terutama apabila bermulanya sesi persekolahan.
Masalah yang disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Datuk Harrison Hassan itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk.
BACA LAGI: 'Saya bukan YB media sosial, action speaks louder than words' — Harrison Hassan
Berdasarkan hantaran dikongsikan Harrison, beliau kecewa dan marah dengan pihak kontraktor pemaju yang sering kali memberi pelbagai bentuk alasan tentang tarikh untuk menyelesaikan pembangunan jalan tersebut.
"Jalan utama di LBS Bina Group Berhad (LBS), sekian lama masih diperbaiki.
"Beratus aduan dan keluhan saya terima dari penduduk. Hampir setiap hari saya pantau dan tekan pihak berkenaan untuk isu ini," katanya.
Katanya, pihak berkuasa dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah sudah memanggil mesyuarat khsusus bersama wakil-wakil penduduk dan pihak kontraktor pemaju.
"Antara ketetapan yang dipersetujui adalah untuk mencari atau membuka jalan alternatif bagi meredakan kesesakan jalan utama ini.
"Ia menempatkan anggota polis trafik di persimpangan utama jalan ini bagi membantu kesesakan waktu puncak terus memantau dan memastikan kerja-kerja pembaikan dan perlebaran jalan ini disegerakan," katanya.
Masalah terbabit juga pernah disuarakan oleh bekas Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli, baru-baru ini.
Dalam hantaran dimuat naiknya sebelum ini pernah menerangkan bantahan yang boleh mempercepatkan pelajaran jalan raya yang dijanjikan lebih 5 tahun.
Luahnya lagi, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majli Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tidak boleh bertindak berlebih-lebihan.
Menurutnya, mereka hanya boleh mengarahkan pemaju untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Projek menaik taraf itu turut membabitkan syarikat perumahan LBS dan Worldwide dan ECO World Development Group Bhd (Eco World Malaysia).
"Untuk makluman projek ini LBS kerjasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI). Mana mungkin MPKS dan JKR memberi tekanana kepada Menteri Besar," katanya.
Beliau pada masa sama mendedahkan beberapa aduan yang dihantar penduduk sekitar tentang keadaan jalan di kawasan berkenaan.
Keadaan itu secara tidak langsung membawa risiko bukan sahaja mengganggu pergerakan malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, sebanyak tiga syarikat pemaju perumahan bersetuju menaik taraf dan menambah bilangan lorong di Jalan Persekutuan (FT) 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya.
Jurutera JKR Daerah Kuala Selangor, Ir Nur Hafidzan Idris juga dilaporkan berkata, projek pelebaran dan penambahan lorong daripada dua kepada tiga lorong sehala itu dijangka siap pada tahun 2025.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ada memberi reaksi tentang isu tersebut dengan menyatakan kelewatan kerja pelebaran jalan akan mengambil sedikit masa.
Ini katanya disebabkan proses pengalihan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram