
RAPID Bus akan memperluaskan kemudahan laluan bas meliputi jarak sepanjang 1 kilometer(km) di Jalan Ampang, berkuat kuasa pada hari Isnin (17 Februari 2025).
Perluasan ini susulan kejayaan pelaksanaan perluasan laluan sepanjang 3km yang pertama pada 3 Julai 2023.
Laluan ini akan merangkumi dua seksyen yang mana Seksyen A melibatkan susur masuk Lebuhraya Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) hingga persimpangan Jalan Mamanda 1 dan bersambung kepada lorng sedia ada, manakala Seksyen B pula dari perhentian bas Bandar Baru Ampang/ Persimpangan Jalan Wawasan Ampang sehingga susur keluar Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura tumpang tandas, mak cik tak diundang majlis kahwin selamba 'kebas' duit di Pasir Mas
Rapid Bus dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan penilaian selama tiga bulan untuk mengukur impak terhadap masa perjalanan dan kesesakan.
Menurut Rapid Bus, laluan ini akan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi pada hari bekerja, termasuk hari Jumaat.
"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada penumpang laluan 300 (Pandan Indah Hub – Lebuh Ampang) dan 303 (Perhentian Bas Mulia Jaya – Lebuh Ampang), serta bas penghubung dari Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya, dan Lembah Jaya.
"Perkara ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan turut disokong oleh Jawatankuasa Kabinet yang ditubuh bagi menangani masalah kesesakan trafik," jelasnya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pelaksanaan laluan yang sedia ada telah berjaya mengurangkan masa perjalanan bas antara sepuluh hingga lima belas minit serta meningkatkan jumlah penumpang harian sebanyak 14.14 peratus, daripada 12,819 kepada 14,631 penumpang.
"Kami berharap langkah ini dapat menggalakkan lebih ramai orang memilih pengangkutan awam," ujar Ku Jamil.
"Rapid Bus juga menggesa pengguna jalan raya untuk menghormati laluan bas serta mengelak penyalahgunaannya," tambahnya. — The Star / MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram